15 Orang Pelajar Di Pasir Gudang Mungkin Terhidu Gas Beracun Sama Seperti Insiden Sg.Kim Kim – Menteri

Semalam kita dikejutkan dengan tularnya beberapa keping gambar yang memaparkan suasana genting yang terjadi kepada 15 orang pelajar Sekolah Agama Taman Mawar di Pasir Gudang, Johor. Mereka dikatakan mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas.

Dimaklumkan juga bahawa Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPD) telah menerima panggilan kecemasan pada jam 3.30 petang semalam sebelum sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama tiga anggota digegaskan ke lokasi untuk memeriksa keadaan.

Berikutan itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan bahawa kejadian berkenaan mungkin kemungkinan disebabkan gas beracun.

Bercakap pada sidang media di kementeriannya semalam, beliau berkata Kementerian Kesihatan menyedari kejadian itu dan akan memantau keadaan dengan teliti, sambil menambah ‘segala-galanya dalam kawalan’.

“Simptom itu kelihatan seperti kemungkinan gas beracun atau gas organik yang mudah meruap sama seperti insiden di Sungai Kim Kim,” katanya dan menambah kementerian itu telah berhubung dengan Pengarah Jabatan Kesihatan Johor Dr Selahudden Abd Aziz berhubung perkara itu.

Ditanya jika ada pengumuman tentang penutupan sekolah, Dr Dzulkefly berkata adalah terlalu awal untuk membuat keputusan.

“Saya akan melihat maklumat…jenis ketoksikan…tahap pendedahan dan ketoksikan yang perlu dipertimbangkan.

“Apa yang penting Jabatan Kesihatan negeri Johor bekerja dengan sangat tekun. Mereka telah dimaklumkan dan mereka kini berada di lapangan untuk menangani perkara ini,” katanya.

Pada Mac, pencemaran toksik di Sungai Kim Kim menyebabkan lebih 4,000 orang jatuh sakit dan menyebabkan penutupan 111 sekolah di daerah Pasir Gudang.

Sumber : Bernama

Sumber : SiakapKeli