AirPower Wearbuds Ialah Penjejak Kesihatan Dengan Fon Telinga Nirwayar Terbina

Terdapat beberapa penjejak kesihatan di pasaran yang menyokong tambatan fon telinga nirwayar untuk mendengar muzik ketika bersenam. Tetapi ini memerlukan mereka membawa pod pengecas bersama bagi membolehkan pengecasan apabila kehabisan bateri. AirPower Wearbuds ialah penjejak kesihatan dua dalam satu dengan fon telinga nirwayar terbina.

Dengan AirPower Wearbuds, penjejak kesihatan ini turut berfungsi sebagai tempat simpanan fon telinga nirwayar merangkap pod pengecas. Ia dilengkapi chip Qualcomm Smart Audio bagi memberikan kualiti audio yang baik dengan sokongan coded aptX.

Menurut pengeluar setiap fon telinga boleh berfungsi sehingga 5.5 jam. Pod pengecas terbina memberikan waktu penggunaan sehingga 12 jam. Ia turut boleh digunakan untuk melakukan panggilan telefon. Tempoh pengecasan semula adalah sekitar 90 minit.

Dengan tahap ketahanan IPX6, ia sesuai digunakan untuk aktiviti bersenam. Penjejak kesihatan yang disertakan mampu mengesan langkah, kalori, nadi dan pola tidur. Pada waktu yang sama notifikasi dari peranti pintar boleh dipaparkan pada skrin AirPower Wearbuds.

AirPower Wearbuds sedang mengumpul dana menerusi laman biayasama Kickstarter dan boleh dipesan pada harga bermula dari $99 (~RM 410), Warna yang ditawarkan ialah Shiny Black, Shiny White, Shiny Coral, Shiny Green dan Glossy White.

Sumber : Amanz