10,000 Basikal oBike & Ofo Yang Tidak Digunakan Telah Disumbangkan Kepada Kanak-Kanak Di Myanmar

Sejumlah perkhidmatan perkongsian basikal seperti oBike dan Ofo telah pun menamatkan perkhidmatannya di sini. Ia berikutan daripada ketidaksesuaian perkhidmatan ini beroperasi di Malaysia, yang mungkin disebabkan atas faktor cuaca, jalan raya, dan kesedaran masyarakat. Jadi dengan penamatan perkhidmatan ini, basikal yang tidak digunakan akhirnya terbiar di dalam longgokan pusat perlupusan.

Perkara ini menyebabkan seorang usahawan teknologi yang dikenali sebagai Mike Than Tun Win berminat untuk melakukan sesuatu dengannya. Beliau merupakan individu yang membesar dan mempunyai pelajaran di Singapura, sebelum kembali ke Myanmar pada 8 tahun yang lalu untuk melanjutkan pelajaran dalam ijazah perniagaan.

Sewaktu kehidupan di Myanmar pada saat ini, beliau kerap melihat para pelajar di sini mengambil masa berjam-jam untuk tiba di sekolah. Beliau bersimpati atas usaha kanak-kanak ini kerana terpaksa berjalan jauh untuk menimba ilmu.

Jadi apabila beliau mendengar syarikat seperti Obike & Ofo telah pun menamatkan operasinya, beliau mengambil peluang untuk membeli sebanyak 10,000 buah basikal daripada menunggu untuk dilupuskan.

Basikal-basikal ini kemudiannya dibersihkan dan diselenggara semula untuk membuang bahagian kunci yang hanya beroperasi melalui aplikasi. Selepas proses penyelenggaraan selesai, basikal-basikal ini mula diedarkan kepada kanak-kanak secara berperingkat.

Pada saat ini, seramai 200 orang pelajar terawal di Yangon, Myanmar telah menikmati inisiatif “Lesswalk” yang telah diperkenalkan oleh usahawan teknologi tersebut. Beberapa lokasi yang lain seperti Mandalya dan Sagaing turut akan menikmati inisiatif yang serupa selepas ini.

Mike mengatakan inisiatif ini baru sahaja di peringkat permulaan dan dijangka akan terus berkembang pada tahun-tahun akan datang. Beliau mensasarkan sebanyak 100,000 buah basikal akan dapat diberi kepada masyarakat di sini dalam jangka masa 5 tahun ini.

Sumber : Amanz