Huawei Nova 5 Dengan Kirin 810 Dan Nova 5i Dengan Kirin 710 Dilancarkan

Selain Huawei Nova 5 Pro, peranti Huawei Nova 5 dan Nova 5i turut dilancarkan serentak seperti sebuah trisula sebentar tadi. Berbeza dengan Nova 5 Pro yang merupakan sebuah peranti mercu, Nova 5 dan Nova 5i adalah dua peranti kelas pertengahan dengan sistem empat kamera utama.

Kita mulakan dengan Huawei Nova 5 terlebih dahulu dengan skrin 6.39″ OLED FHD+, dijana cip Kirin 810, memori sebesar 8GB RAM, storan 128GB, kamera swafoto 32-Megapixel, kamera utama 48+16+2+2 Megapixel dan bateri sebesar 3500 mAh. Sistem pengecasan pantas 40W disokong menerusi port USB-C walaupun ia sebuah peranti kelas pertengahan.

Sistem kamera pada peranti ini menggabungkan lensa sudut lebar, ultra sudut lebar, makro dan satu sensor TOF. Ini membolehkan ia melakukan kesan khas memisahkan latar belakang dengan objek secara masa nyata. Ini adalah sistem kamera yang sama seperti yang ditemui pada Nova 5 Pro. Akhir sekali ialah penggunaan sistem operasi Android Pie dengan pelancar EMUI 9.1.1.

Huawei Nova 5i pula hadir dengan skrin 6.4″ TFT LCD FHD+, dijana cip Kirin 710, memori sehingga 8GB RAM, storan 128GB, kamera swafoto 24-Megapixel, kamera utama 24+8+2+2 Megapixel dan bateri sebesar 4000 mAh. Sistem pengecasan pantas 10W sahaja disokong menerusi port USB-C.

Sistem kamera pada peranti ini menggabungkan lensa sudut lebar, ultra sudut lebar, makro dan satu sensor mengesan kedalaman. Peranti mempunyai sistem skrin berlubang untuk kamera hadapan dan pengimbas cap jari pada bahagian belakang. Sistem operasi Android Pie digunakan dengan pelancar EMUI 9.1.

Di China Huawei Nova 5 dijual pada harga RMB2799 (~RM 1689)  sebuah. Huawei Nova 5i pula dijual pada harga RMB 1999 (~RM 1206) untuk versi 6/128GB dan RMB2199 (~RM 1327) untuk versi 8/128GB.

Sumber : Amanz