Belasah & rompak wanita dalam lif stesen MRT, lelaki dipenjara 18 tahun

Seorang lelaki yang mendapat perhatian ramai selepas rakaman video perbuatan beliau merompak dan mencederakan seorang wanita di dalam lif stesen MRT menjadi tular di media sosial sekitar Feb lepas, dihukum penjara 18 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu ke atas G.Thinathayaalan, 26, selepas tertuduh didapati bersalah atas pertuduhan merompak setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh.
“Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak. Mahkamah memutuskan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pihak pendakwaan berjaya membuktikan keraguan munasabah dalam kes ini,” katanya selepas tertuduh selesai memberi keterangan membela diri dari kandang tertuduh.
Mahkamah memerintahkan tertuduh yang bekerja sebagai pembaiki penghawa dingin menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 18 Feb lepas.
Tertuduh didakwa telah melakukan rompak dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas pengurus bank Lee Meei Shan ,48, dengan melarikan kad pengenalan, lesen memandu, dua kad ATM bank, dua kad kredit bank dan wang tunai RM400 di dalam lif Stesen MRT, Taman Mutiara, Cheras di sini pada 6.45 pagi, 14 Feb lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran mengambil kira kesalahan serius yang dilakukan tertuduh.
“Dalam kes ini, tertuduh mencederakan mangsa sehingga mengalami kesan lebam di kepala, muka dan badan mangsa, serta mengalami trauma kesan daripada kes ini, Perbuatan ini sangat tidak berperikemanusian dan kes ini juga telah menjadi tular di media sosial serta mendapat perhatian media massa,” katanya.
Bagaimanapun, Thinathayaalan yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.
Sepanjang perbicaraan bermula 29 April lepas sembilan saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri dipanggil memberi keterangan.
Pada 14 Feb lepas, dalam kejadian pada pukul 6.45 pagi, berdasarkan satu rakaman video berdurasi 55 saat, pengurus bank berusia 48 tahun itu dilihat diserang seorang lelaki ketika menaiki lif di Stesen MRT Taman Mutiara.
Belum sempat pintu lif ditutup, suspek dilihat terus menyerang mangsa dengan menumbuknya di muka menyebabkan wanita itu jatuh.
Sumber: Bernama
LAPORAN BERKAITAN

Sumber : TheReporter