Temui Janin Dalam Tandas, Pesawat Penumpang Terpaksa Batal Penerbangan

Sebuah pesawat penumpang dari Afrika Selatan terpaksa membatalkan penerbangan selepas petugas pembersihan menemui janin yang tersumbat dalam mangkuk tandasnya.

Pesawat FlySafair FA411 sepatutnya terbang ke Johannesburg dari bandar Durban pada 6.15 pagi, 21 Jun akan tetapi, terpaksa ditangguhkan bagi membolehkan siasatan terhadap penemuan itu dijalankan.

“Selepas pemeriksaan akhir pada sistem pengurusan bahan buangan, pasukan kami menemui sesuatu yang memerlukan penyiasatan oleh pihak polis dan pasukan teknikal. Malangnya, ia bermakna pesawat ini tidak boleh beroperasi”, kata syarikat penerbangan tersebut.

Walaupun mereka tidak memberi maklumat lanjut mengenai penemuan itu, jurucakap Airports Company South Africa telah mendedahkan ia adalah janin. Ia kemudiannya telah diperakui oleh seorang pegawai tertinggi syarikat penerbangan itu sendiri.

Tandas dalam pesawat berkenaan(Foto: AFP/DailyMail)

Berikutan kejadian itu, semua penumpang penerbangan berkenaan telah dipindahkan ke satu penerbangan alternatif lain oleh kru syarikat tersebut.

Dalam pada itu, pihak polis mengingatkan orang ramai yang mempunyai sebarang masalah semasa penerbangan untuk menghubungi mereka atau pekerja sosial.

Mereka juga memberitahu bahawa siasatan lanjut akan dijalankan dan ibu kepada janin tersebut masih belum dapat dikenalpasti. Bagaimanapun, mereka menjangkakan bahawa pelaku berkemungkinan besar tidak akan menghadapi tuduhan bunuh kerana ia sangat jarang berlaku.

Sumber: DailyMail, Meaww

Sumber : SiakapKeli