(Video)Tragedi Kilang Dalam Rumah Terbakar, Puluhan Maut Termasuk Kanak-Kanak

Langkat, Sumatera Utara – Seramai 30 orang maut dalam kebakaran sebuah kilang memproses pemetik api di wilayah ini, hari ini pada pukul 11.30 pagi waktu tempatan.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 24 dewasa yang merupakan pekerja di situ dan 6 orang kanak-kanak terkorban akibat terperangkap di dalam kilang manakala hanya 3 orang yang terselamat daripada kebakaran tersebut.

Menurut laporan TribunNews, kesemua yang terselamat sedang berada di luar kilang tersebut untuk makan tengah hari sebelum kebakaran tersebut terjadi.

Jurucakap agensi keselamatan tempatan, Irwan Syahri berkata, semua kanak-kanak yang maut mungkin bukan pekerja, tetapi dibawa oleh ibu bapa mereka ke lokasi berkenaan.

Kilang pemetik api tersebut yang kelihatan seperti sebuah rumah dibina berhampiran dengan kawasan perumahan, membuatkan status prosedur  operasi standard keselamatannya diragui.

Gambar: Kupang.Tribunnews.com

Seorang saksi yang tinggal berhampiran kilang tersebut mendakwa dia terdengar bunyi letupan kuat dari kilang berkenaan.

Kesemua mangsa dikatakan terperangkap di dalam kilang akibat pintu yang terkunci. Disebabkan keadaan jenazah yang rentung, proses pengecaman menjadi sukar.

Sumber: KompasTV, TribunNews

Sumber : SiakapKeli