Pemandu Maut Dilanggar Semasa Periksa Lori Rosak

KUANTAN, Seorang pemandu lori maut akibat dirempuh sebuah lori lain, semasa sedang memeriksa kerosakan lori dipandunya di Kilometer 85 Lebuhraya Utama Tengah (CSR) di Lipis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata pemandu lori yang disyaki melanggar mangsa, S. Ghanes Kumar, 23, telah melarikan diri selepas melihat mangsa parah dan terbaring di bahu jalan.

Katanya, menurut keterangan kelindan lori mangsa, M. Jeganathan, 22, kejadian berlaku pada 7 pagi, semasa mereka dalam perjalanan dari Raub menghala ke Gua Musang, Kelantan.

“Mangsa dikatakan telah memberhentikan lori di bahu kiri jalan kerana mahu memeriksa lori yang rosak apabila sebuah lori datang dan melanggar mangsa yang berada di belakang kanan lori.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa melambung sebelum jatuh di kiri jalan dan lori yang terlibat dikatakan terus meninggalkan tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Azli berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta orang ramai yang melihat kejadian untuk tampil membantu siasatan.

— BERNAMA

Sumber : SiakapKeli