Ibu Bapa Nabi Masuk Syurga

Sanggupkah kita menyakiti
hati Nabi?

Seorang lelaki pernah menuduh ibu bapa Nabi masuk neraka. Apabila diajukan kepada Al-Qadhi Abu Bakar al-‘Arabi al-Maliki, dia menjawab yang lelaki itu dilaknat. Katanya, “Sesungguhnya mereka yang mencaci Allah dan Rasul-Nya, mereka dilaknat oleh Allah di dunia dan akhirat serta disediakan bagi mereka azab yang hina.

Dan tiadalah perkara yang
lebih menyakitkan Rasulullah selain menyatakan ayah baginda diazab di dalam
neraka.”

Apakah alasan ibu bapa Nabi
dinerakakan? Oh, adakah disebabkan kedua-dua mereka tidak menyahut seruan
dakwah? Pelik benar logik begini. Bukankah Nabi masih dalam kandungan. Lagipun,
antara kerasulan Rasulullah dengan Nabi Isa, selama 500 tahun tidak ada Nabi
yang diutuskan. Merekalah yang dipanggil generasi ahli fatrah, tidak sampai
seruan dakwah. Mereka tidak boleh dipersalahkan.

Allah
berfirman,

“Dan
tiadalah Kami mengazabkan sesiapa pun sebelum kami mengutuskan seorang rasul
(untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (QS: Al-Isra’, 15)

Imam Baijuri berkata,
“Apabila kamu mengetahui bahawa ahli fatrah adalah golongan yang terselamat (di
akhirat) menurut pendapat yang terpilih, maka kamu juga akan mengetahui bahawa
kedua-dua ayahanda dan bonda Rasulullah juga terselamat, disebabkan mereka juga
tergolong dalam kalangan ahli fatrah. Bahkan semua nenek moyang Rasulullah
terselamat dan dihukumkan sebagai generasi yang beriman dan tiada seorang pun
di antara mereka yang (terjebak di dalam kancah) kekufuran, kekotoran serta
perkara-perkara yang mengaibkan (menjatuhkan maruah) yang dilakukan oleh kaum
Arab Jahiliyyah.”

Keturunan Rasulullah bukannya kaleng-kaleng.

Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya
Allah telah menjadikan makhluk, lalu Dia menjadikan aku dari sebaik-baik
makhluk, dari sebaik-baik kurun. Kemudian Allah memilih qabilah-qabilah, maka
Dia memilih aku dari sebaik-baik qabilah. Kemudian Dia memilih keluarga, maka
Dia menjadikan aku dari sebaik-baik keluarga. Maka aku adalah yang terbaik
daripada kalangan mereka pada diri dan juga keluarga.” (HR Ahmad)

Rasulullah bersabda,
“Aku telah keluar daripada hasil nikah dan bukan daripada keturunan yang
rosak, sedang aku adalah daripada keturunan Adam sehingga telah dilahirkan akan
aku oleh Ibu dan Ayahku sedang aku tidak pernah ditimpa sebarang perbuatan
jahat orang jahiliah.” (HR Abu Nuaim, al-Thabariy dan Ibn ‘Asakir)

Rasulullah bersabda, “Allah
senantiasa memindahkan aku dari sulbi yang baik ke dalam rahim yang suci, suci
dan memberi petunjuk. Tidaklah tumbuh dua cabang kecuali aku yang terbaik.” (HR
Ibnu Asakir dan Ibnu Abbas)

Nasab
baginda suci daripada syirik.

Jalur keturunan baginda
sampai kepada Nabi Ibrahim. Kesemuanya mengamalkan agama Hanif yang menyembah
Allah. Bukan sahaja tidak dinodai zina, bahkan dalam kalangan orang yang sujud.
Keimanan nasab ini bukti makbulnya doa Nabi Ibrahim yang bermunajat, “Wahai
Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua (Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail): orang Islam
(yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat
Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan
cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha
Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (al-Baqarah: 128).

Allah
berfirman,

“Yang
melihat pergerakan dirimu di antara orang-orang yang sujud.” (QS: Syu’ara’,
218- 219)

Ibnu Abbas mentafsirkan firman
Allah ini sebagai perpindahan benih daripada sulbi seorang Nabi ke sulbi Nabi
seterusnya ke dalam sulbi dari kalangan para Sajidiin (yang sujud dan beriman
kepada Allah).

Kadangkala, berlaku salah
faham terhadap hadis berikut:

أَنّ رَجُلاً قَالَ: يَا رَسُولَ اللّهِ، أَيْنَ أَبِي؟ قَالَ: فِي النّارِ. فَلَمّا قَفّى دَعَاهُ فَقَالَ: إِنّ أَبِي وَأَبَاكَ فِي النّارِ

Daripada Anas r.a. bahawa ada seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulallah,
ayahku berada di mana?” Nabi s.a.w. menjawab: “Di dalam neraka.” Apabila lelaki
itu berpaling pergi, Baginda s.a.w., memanggilnya lalu bersabda: “Sesungguhnya
ayahku dan ayahmu di dalam neraka.” (HR Muslim)

Jawapan:

  • ‘Ayah’ dalam hadis
    bermaksud ‘ayah saudara’ Nabi. Adat bangsa arab, kalimat ‘Abi’ yang bermakna
    ‘ayah’ di situ membawa makna umum, tidak semestinya makna bapa kandung, boleh
    jadi bapa saudara. Kalimat yang paling tepat untuk ayah kandung ialah ‘Walid’.
  • Kata-kata Nabi ini
    bertujuan agar lembut hati lelaki tersebut, tidak kembali murtad dan tidak
    mengeluarkan kata-kata sumpahan dan caci-maki terhadap Rasulullah kerana lelaki
    ‘Arabi terkenal dengan sikap degil dan keras hati. Ia juga suatu strategi untuk
    menarik lebih ramai kaum kerabatnya memeluk Islam.
  • Al-Quran merekodkan, yang
    Nabi Ibrahim pernah berdoa supaya ‘Abi’nya diampunkan, tetapi dilarang Allah.
    Namun, pada ayat lain, Nabi Ibrahim berdoa supaya ‘Walid’nya diampunkan, hal
    ini dibenarkan Allah. Perbezaan dua keadaan ini menunjukkan ada beza antara
    makna ‘Abi’ untuk ayah saudara dengan ayah kandung.

Sebelum menghembuskan nafas
yang terakhir, Saidatina Aminah sendiri pernah berwasiat kepada Nabi Muhammad
yang ketika itu berusia 5 tahun. Rasulullah sewaktu itu menemani ibunya yang
sedang sakit tenat. Bondanya berkata,

“Semoga Allah memberkatimu
dari kecil, wahai anak dari ayahandanya (Abdullah) yang ditaqdirkan mati,
tetapi telah terselamat dengan pertolongan Allah Raja Yang Memberikan Nikmat,
dia telah ditebus pada keesokan paginya ketika hendak disembelih dengan seratus
ekor unta yang mahal. Sekiranya benar apa yang telah aku saksikan ketika tidur,
engkau akan diutuskan kepada sekalian makhluk; dari sisi Tuhan Yang Mempunyai
Keagungan dan Kemuliaan; Engkau akan diutuskan di Tanah Halal dan Haram;
diutuskan juga dengan kebenaran dan Islam, agama datukmu Ibrahim yang mulia,
maka Allah telah menghalangmu daripada mendekati berhala supaya kamu tidak
menyembahnya bersama kaum Jahiliyyah.”

Fikirkanlah, jikalau makam
yang menempatkan jasad Rasulullah itu sendiri sungguh mulia di atas muka bumi.
Mana mungkin tidak mulia empunya rahim yang mengandungkan jasad Rasulullah?

RUJUKAN:

The post Ibu Bapa Nabi Masuk Syurga appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots