Insiden Sesak Nafas: Jabatan Pendidikan Johor Akur Keputusan Tutup Sekolah Dua Hari Mulai Hari Ini

Jabatan Pendidikan Negeri Johor akur dengan keputusan kerajaan negeri untuk menutup tiga buah sekolah dan dua tadika di bawah kendaliannya, bermula hari ini.

Pengarahnya, Azman Adnan berkata pihaknya telah pun mengambil tindakan memaklumkan perkara itu kepada ibu bapa, guru dan kakitangan sekolah, sejurus ia diumumkan.

“Jabatan ini akur dengan keputusan Jawatankuasa Teknikal untuk menutup sekolah-sekolah dan tadika di bawah kawalan Kementerian Pendidikan iaitu Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4, Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang 2 dan Tadika Pintar Bestari Mawar selama dua hari bermula hari ini, 23 Jun, bagi tujuan perluasan radius pemantauan untuk memastikan tahap keselamatan terkawal.

“Penutupan sekolah ini melibatkan semua murid, guru dan kakitangan semua sekolah serta tadika yang dinyatakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah untuk memantau dengan dekat keadaan dari semasa ke semasa demi kebajikan semua pihak.

Petang tadi, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata penutupan sekolah dan tadika itu adalah bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan pemantauan lanjut berhubung insiden sesak nafas yang membabitkan 15 orang murid di kawasan berkenaan Khamis lepas.

Kesemua sekolah dan tadika yang ditutup itu berada dalam radius antara 100 hingga 800 meter dari Sekolah Agama Taman Mawar, yakni tempat yang menjadi lokasi kejadian.

— BERNAMA

Sumber : SiakapKeli