Selepas Huawei, Pengeluar Adikomputer China Pula Dilarang Dari Membeli Perkakasan Amerika Syarikat

China ialah negara yang mempunyai jumlah adikomputer tertinggi di dunia menurut senarai yang dikeluarkan oleh Persidangan Adikomputer Antarabangsa (ISC) minggu ini. Mereka mempunyai 219 adikomputer berbanding Amerika Syarikat di tangga kedua dengan 116 adikomputer, Pembangunan adikomputer di China akan terganggu selepas beberapa pengeluar dari negara tersebut telah dimasukkan ke dalam Entity List seperti Huawei.

Syarikat Sugon bersama tiga anak syarikatnya iaitu Higon, Chengdu Haiguang Integrated Circuit ,Chengdu Haiguang Microelectronics Technology dan akhir sekali Wuxi Jiangnan Institute of Computing Technology kini dihalang dari mengimport perkakasan dari Amerika Syarikat tanpa persetujuan Jabatan Perdagangan A.S. Sugon ialah syarikat ketiga terbesar dalam penghasilan adikomputer di dunia di belakang Lenovo dan Inspur.

Tidak seperti Huawei yang didakwa melakukan pengintipan, kelima-lima syarikat di atas dimasukkan ke dalam Entity List kerana kerisauan teknologi adikomputer digunakan untuk tujuan ketenteraan yang boleh membahayakan A.S. Adikomputer diperlukan untuk melakukan ujian nuklear kerana ujian fizikal kini telah diharamkan. Selain itu ia turut digunakan untuk tujuan penyulitan, pembangunan peluru berpandu dan menguji model pesawat tempur.

Sumber : Amanz