MacBook Air & MacBook Pro 13.3″ Tanpa Touch Bar Dijangka Akan Menerima Kemaskini Cip Pemprosesan Pada September

MacBook Pro 13″ tanpa Touch Bar tidak menerima kemaskini cip pemprosesan sejak daripada 2017. Namun Apple pada tahun ini dijangka akan mengemaskininya bersama-sama MacBook Air dengan penyertaan cip pemprosesan lebih terkini.

Ia dilaporkan oleh seorang penganalisis daripada IHS Markit, Jeff Lin melalui laporan berkenaan pasaran PC untuk negara-negara membangun. Apa yang menarik, laporan tersebut telah menyebut bahawa kemaskini MacBook Air dan MacBook Pro 13.3″ tanpa Touch Bar baru dijangka akan hadir pada September ini.

Apple pada sebelum ini sedia menawarkan kemaskini bagi MacBook Pro 13.3″ Touch Bar dengan cip Intel generasi ke-8, namun tidak pada versi tanpa Touch Bar. Perkara ini sekaligus menyebabkan MacBook Pro tersebut hanya kekal dengan cip Intel generasi ke-7 untuk tempoh penjualannya sehingga kini.

Namun begitu, ia hanya sekadar spekulasi dan mungkin terdapat perubahan apabila ia diperkenalkan kelak. Sekiranya laporan ini benar, kedua-dua model MacBook ini dijangka dapat memanfaatkan cip pemprosesan yang lebih berkuasa untuk dipasarkan pada segmen MacBook yang lebih mesra bajet.

Sumber : Amanz