Dell Malaysia Melancarkan Komputer Riba Latitude 7400 2-dalam-1 Dengan Bateri Bertahan Lebih 20 Jam

Dell Malaysia hari ini telah melancarkan beberapa produk baru memfokuskan pengguna perusahaan, termasuk komputer riba yang menjadi fokus ramai peminat, iaitu siri Latitude. Sebanyak tiga siri menerima kemaskini, iaitu Latitude 7000 Series, 5000 Series, dan juga 3000 Series.

Ketiga-tiga siri komputer riba Latitude versi baru ini hadir dengan cip Intel Core vPro generasi ke-8, selain turut dilengkapi sokongan Intel WiFi 6 (Gig+) bersama-sama dengannya — sekaligus menawarkan kuasa operasi dan memudahkan pengguna kekal berhubung apabila bekerja diluar pejabat.

Menjadi fokus utama pada pelancaran hari ini adalah Latitude 7400 2-dalam-1 yang mana hadir dengan rekaan nipis, bersaiz 14-inci yang paling kompak di pasaran, dan dilengkapi papan kekunci bercahaya. Ia turut menawarkan rekaan premium, selain membolehkan pengguna menggunakannya dalam beberapa mod bersesuaian dengan tugasan harian mereka.

Dell Latitude 7400

Komputer riba ini turut hadir dengan skrin sentuh berasaskan Gorilla Glass 5 yang turut menyertakan sokongan “Super Low Power”, pilihan memori sehingga 32GB RAM, dan storan sehinga 2TB. Dell turut menyertakan teknologi Intel Context Sensing yang mana menggunakan sensor khusus untuk mengenal pasti pengguna berhampiran dengan komputer riba sebelum mengimbas pengguna melalui Windows Hello dan memberikan akses ke komputer.

Dell mengatakan ia mampu menawarkan sokongan penggunaan bateri sehingga lebih 20 jam lamanya, selain turut hadir dengan pilihan integrasi selular untuk memudahkan penggunaan dimana-mana pada bila-bila masa dengan akses internet.

Selain model 2-dalam-1, pihak Dell turut menawarkan:

  • Dell Latitude 7400 pada harga bermula RM5402
  • Dell 7200 2-dalam-1 pada harga bermula RM6615
  • Dell Latitude 5400 pada harga bermula RM4178
  • Dell Latitude 5300 2-dalam-1 pada harga bermula RM5513
  • Dell Latitude 3500 pada harga bermula RM3164
  • Dell Latitude 3400 pada harga bermula RM3212

Dell Latitude 7400

Harga jualan untuk Dell Latitude 7400 2-dalam-1 masih belum diumumkan secara rasminya buat masa ini, dan dijangka dikongsikan tidak lama lagi.

Sumber : Amanz