Marie Antoinette: Penyebab Jatuhnya Monarki Perancis?

Marie Antoinette atau Maria Antonia Josepha
Johanna merupakan Permaisuri Perancis terakhir sebelum Revolusi Perancis. Marie
lahir di Vienna pada 2 November 1755, Austria dan puteri bongsu dari pasangan
diraja iaitu Maharani Maria Theresa, ratu kerajaan Habsburg dan Maharaja
Francis I, pemerintah empayar Holy Roman. 

Pada umur 15 tahun, Marie dikahwinkan dengan pewaris takhta Perancis iaitu Louis XVI. Perkahwinan ini menjadi simbolik kepada revolusi sistem monarki Perancis. Kisah perkahwinan mereka juga menjadi gempar dalam kalangan masyarakat sehingga Marie menjadi perbualan hangat mereka.

Pada 1789, setelah selesai Revolusi Perancis, para kerabat diraja termasuk Marie dipaksa untuk hidup dibawah kawalan para revolusi. Tahun 1793, raja Perancis iaitu suami Marie dibunuh dan Marie ditahan atas dakwaan jenayah-jenayah berat yang mampu melawan Republik Perancis. Pada 16 Oktober 1793, Marie dihukum pancung yang dilaksanakan oleh Charles Henri-Sanson.

Awal
Kehidupan

Di awal usia Marie, dalam pertengahan tahun
1750-an, berlaku ketidakstabilan dalam dunia monarki Eropah sehingga menunggu
masa untuk sesebuah kerajaan monarki melakukan peperangan. Pada tahun 1766,
kerajaan Hubsburg dan Perancis mempunyai cara bagi mengelak perkara tidak
diingini berlaku iaitu mengadakan persekutuan sesama kerajaan melalui
perkahwinan. Maka, Maharani Theresa memilih Marie Antoinette sebagai calon
untuk mengahwini putera Perancis iaitu Louis XVI.

Empat tahun kemudian, Marie dan Louis dikahwinkan
di Vienna pada usia remaja iaitu 15 dan 16 tahun. Pada 16 May 1770, majlis
perkahwinan diraja berlangsung di Versailles di mana seramai 5,000 orang tetamu
hadir bagi melihat pasangan pengantin muda ini. Di sinilah bermulanya kehidupan
Marie sebagai perhatian orang ramai.

Kepopulariti
Marie Sebagai Ratu

Marie dengan pakaian memburu baginda. Potrait kegemaran ibunda.

Pada 10 May 1774, Louis XVI ditabal sebagai Raja Perancis.
Maka, secara automatik Marie menjadi Ratu Perancis. Kehidupan baginda sebagai
ratu bukanlah kehidupan yang mudah seperti dalam kisah dongeng. Selain harus
bertugas dalam bidang politik kerajaan bagi membantu suaminya, baginda juga
harus bersosial dengan kerabat diraja dan para menteri bagi menjaga statusnya.
Bagi mengimbangi kehidupan peribadi dengan kerjayanya, Marie mempunyai hobi
mewah bagi mengisi masa lapangnya. Salah satunya adalah memakai pakaian orang
gaji bersama peneman ratu dan berseronok di ladang yang bertempat di luar
kawasan istana.

Dari perkahwinan Marie, baginda menjadi popular
dalam masyarakat Perancis. Namun masa yang berlalu singkat seiring dengan
pertambahan populasi, kepopulariti Marie semakin berkurang. Semakin ramai tidak
menyukai Marie kemudian beberapa akhbar menyebarkan tentang keburukan Marie, konon
sikapnya yang boros menggunakan duit kerajaan dan mempunyai hubungan seks
dengan ramai lelaki. Tambahan pula, Marie dijadikan sebab mengapa segala
permasalahan Perancis muncul, seolah-olah Marie adalah pesalah yang harus dihukum.

“Semua
Salah Marie!”

Marie ketika dalam tahanan di Tuileries.

Namun hakikatnya bahawa permasalahan Perancis
berlaku akibat penglibatannya dalam Revolusi Amerika. Pada 1776, atas arahan
Marie, Perancis masuk campur bagi membantuk pihak Amerika menghalau British
yang semakin berpengaruh di tanah Amerika sehinggalah campur tangan itu memakan
diri sendiri: peningkatan hutang kerajaan. Bagi membantu melangsaikan hutang,
cukai adalah jalannya. Namun hanya rakyat saja yang wajib membayar cukai dan
dikecualikan kepada para gereja dan bangsawan yang mempunyai status yang mewah.
Dari kesengsaraan itu, rakyat mempersoalkan perbelanjaan melampau kerajaan.

Raja Louis XVI dan para menteri berusaha untuk
membuat polisi cukai baru iaitu mengenakan cukai juga kepada para gereja dan
bangsawan tetapi para bangsawan menentang polisi itu. Demi mempertahankan ‘hak
istimewa’ mereka, Marie dijadikan bahan untuk dipersalahkan atas hutang
kerajaan kerana Marie yang kononnya ‘lebih kaya’ dari mereka kuat berbelanja
demi kepentingan diri.

Pada 1789, perwakilan dari rakyat, gereja, dan
bangsawan berkumpul di Versailles bagi membincangkan tentang mereformasikan
Perancis namun para gereja dan bangsawan tidak mahu bekerjasama kerana
perbincangan tersebut akan mengganggu hak istimewa mereka. Kemudian, delegasi
“Third estate” yang terdiri daripada para ‘Pencerah’ yang memperjuangkan
kebebasan dan kesamarataan sivik, menubuhkan Perhimpunan Kebangsaan bagi
menggantikan sistem monarki dan menyerahkan kepada rakyat.

Pada masa yang sama, rakyat semakin sengsara
kerana masalah ekonomi Perancis dan mempercayai bahawa kerabat diraja dan para
bangsawan berkomplot bagi menentang rakyat. Marie sekali lagi menjadi bahan
tuduhan untuk memuaskan amarah rakyat. Para kartunis dan akhbar menggelarkan
Marie sebagai ‘Pelacur Austria’ kerana Marie membantu pemerintah Austria iaitu
abangnya bagi menyelesaikan konflik Austria yang merupakan musuh Perancis.

Para rakyat sanggup buat apa saja bagi melemahkan
sistem monarki walaupun terpaksa memalukan ratu mereka. Pada Oktober 1789,
demonstrasi dalam kalangan wanita Perancis berlaku kerana kenaikan harga roti
dan barangan yang tiba di Versailles, memaksa kerabat diraja pergi ke istana
Tuileries dan dipenjarakan.

Pada bulan Jun 1791, raja Louis XVI dan ratu
Marie merancang untuk melarikan diri ke sempadan Austria-Perancis, di mana
abang Marie yang merupakan maharaja Holy Roman menunggu dengan para tenteranya,
kemudian menumbangkan Perancis yang dikuasai para revolusi dan memulihkan
kembali sistem monarki. Namun usaha mereka dan para kerabat gagal kerana dapat
dikesan oleh para revolusi, seterusnya menangkap dan membawa mereka ke Paris.

Penangkapan Louis XVI dengan kerabat diraja oleh para revolusi.

Monarki
Perancis Di Hujung Tanduk

Marie ketika dibicarakan dalam mahkamah Revolutionary Tribunal.

Pada bulan Apirl 1792, bagi menguji kesetiaan
rakyat kepada raja dan ratu Perancis, kerajaan revolusi Jacobin mengisytiharkan
perang ke atas Austria. Kekalahan tentera Perancis dalam menentang Austria menjadi
batu loncatan lagi kepada rakyat untuk menyalahkan Marie, konon Marie
bersubahat dengan Austria dengan memberi maklumat ketenteraan.

Pada bulan Ogos, demonstrasi besar-besar berlaku
di Tuileries sehingga menggulingkan terus pemerintahan monarki dan kerabat
diraja dikurung di Temple. Seminggu kemudian, beberapa orang kerabat diraja
disoal siasat oleh kerajaan Paris Commune kemudian mereka dibunuh dalam
pembunuhan beramai-ramai pada 3 September, termasuklah sahabat baik Marie,
Princesse de Lamballe.

Pada 21 September 1792, sistem monarki sah
digulingkan dan Republik Perancis ditubuhkan dan badan National Convention
dijadikan sebagai badan kerajaan. Louis XVI dipisahkan dari keluarga diraja dan
dibicarakan dalam mahkamah. Gara-gara para revolusi tidak mahu ‘menyimpan’ lama
Louis, Louis disabitkan kesalahan kerana mengkhianat kerajaan sendiri. Baginda
dikenakan hukuman pancung menggunakan guillotine pada 21 Januari 1793.

Manakala Marie pula dibicarakan dalam mahkamah
Revolutionary Tribunal pada 14 Oktober 1793. Baginda disabitkan 3 kesalahan:
pemborosan harta kerajaan, mengancam keselamatan kerajaan, dan pengkhianatan
terhadap kerajaan sendiri. Pada 16 Oktober, Marie dikenakan hukuman pancung
dengan guillotine. Di sinilah berakhirnya hidup Marie Antoinette, hidup yang
penuh kontroversi sehingga menjadi penyebab keruntuhan monarki Perancis.

Legasi
Marie

Kehidupan Marie difilemkan dan diterbitkan di USA pada tahun 2006 dengan tajuk Marie Antoinette

Pengajarannya? Bagi para revolusi, kehadiran
Marie Antoinette menandakan bermulanya kepincangan sistem monarki Perancis.
Hubungan baik dengan Austria dijadikan bukti tentang pengkhianatan Marie.
Mereka dan rakyat yang menyokong revolusi melihatkan ‘pengorbanan’ Marie
sebagai langkah utama dalam melaksanakan Revolusi Perancis.

Selepas lama kematian Marie, ratu Perancis
terakhir ini menjadi figura sejarah penting dunia kerana kehidupan Marie
berkait dengan idea konservatif, pengaruh gereja Katolik, kekayaan dan fesyen,
sehingga Marie diabadikan dalam penulisan buku, filem dan media lain. Bagi
dunia politik, Marie disimbolikkan sebagai konflik kelas diraja, sistem aristokrat
Barat, dan sistem mutlak monarki.

Ada yang berpendapat, Marie dipaksa keluarga
untuk mengekalkan sistem monarki. Ada sisi baik Marie sebenarnya iaitu seorang
isteri dan ratu yang bertanggungjawab dan penyayang terhadap 3 orang anaknya.
Kita boleh lihat Marie bukanlah pemerintah yang mengabaikan kerajaannya. Namun,
sebab tindakan baginda yang menyebabkan amarah rakyat, bermulanya Revolusi
Perancis.

RUJUKAN:

  1. Bashor, Will (2013). Marie Antoinette’s Head: The Royal
    Hairdresser, the Queen, and the Revolution. Lyons Press. p. 320
  2. Castelot, André (1957). Queen of France: a biography of Marie
    Antoinette. trans. Denise Folliot. New York: Harper & Brothers.
  3. Kates, Gary
    (1998). The French Revolution: Recent Debates and New Controversies 2nd
    ed. Routledge. pp. 201–218.
  4. Lasky, Kathryn (2000). The Royal Diaries: Marie Antoinette,
    Princess of Versailles: Austria-France, 1769. New York: Scholastic.
  5. MARIE ANTOINETTE: https://www.history.com/topics/marie-antoinette

The post Marie Antoinette: Penyebab Jatuhnya Monarki Perancis? appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots