Hubungan Orang Melayu-Orang Asli Dalam Sejarah

Tidak
dapat dinafikan bahawa orang Melayu adalah pribumi di Asia Tenggara khasnya di
Malaysia seiring dengan kewujudan satu kelompok manusia yang dipanggil sebagai
‘Orang Asli’ di negara kita. Selain dari bukti linguistik, sebagai contoh
bahasa orang Jakun serumpun  dengan
bahasa Melayu, bukti genetik juga membuktikan bahawa orang Melayu dan Orang
Asli juga memiliki ‘hubungan darah’ sebagaimana rumusan oleh Prof. Madya Dr.
Zafarina Zainuddin, seorang pakar kajian genetik di Pusat Penyelidikan
Biokimia Analisis
, Universiti Sains Malaysia:

“Apabila membuat kajian DNA berkenaan, kita temui sesuatu yang hampir sama dalam DNA orang Melayu dan Orang Asli Semang yang menandakan kedua-dua masyarakat ini berada dalam rumpun yang sama, sekali gus menjadikan Melayu sebagai bangsa yang sangat tua dari Kepulauan Melayu.” – (Prof Madya Dr. Zafarina Zainuddin, dipetik dari “Melayu,Orang Asli Satu rumpun”, Siti Haliza Yusop, Berita Harian)

Secara umumnya terdapat tiga kumpulan utama Orang Asli di Semenanjung
Malaysia iaitu Semang (Negrito), Senoi dan Melayu Asli (Aborigine Malay) yang dibezakan melalui bahasa, kebudayaan, cara
hidup serta ciri-ciri fizikal. Daripada tiga kumpulan utama ini terbahagi pula
suku kaum yang kecil.

Suku Senoi merupakan suku yang terbesar di Semenanjung Malaysia. Suku Senoi
terdiri daripada Temiar, Semai, Che Wong, Jahut, Semoq Beri dan Mah Meri.
Kumpulan Melayu Asli pula merangkumi Temuas Belandas, Semelai, Jakun, Orang
Kanaq, Orang Seletar dan Orang Kuala atau Laut. Dalam kumpulan Semang (Negrito)
terdapat suku Kintak, Kensiu, Jahai, Mendriq, Batek dan Lanoh. 

Kesimpulannya, terdapat 3 kumpulan besar Orang Asli di Malaysia:

1) Semang (Negrito)

2) Senoi (Aslian)

3) Melayu Asli (Proto-Melayu/Aborigine
Malay
)

Hubungan yang umum di antara orang Melayu dan kelompok Orang Asli ini ialah pertukaran hasil hutan dengan produk orang Melayu seperti kain, senjata, garam dan sebagainya. Terdapat juga hubungan perkahwinan sesama orang Melayu dan Orang Asli.

Di sana memang terdapat beberapa riwayat lisan yang mengandungi isu hubungan orang Melayu dan Orang Asli, namun dalam tulisan ini saya ingin membandingkan dua riwayat yakni ‘Riwayat Melayu Kinta’ dan ‘Legenda Mawas &  Siamang’. Kedua-dua riwayat lisan ini dipilih kerana mengandungi banyak maklumat berharga berkenaan hal-ehwal kehidupan orang Melayu dan Orang Asli pada masa silam.0

1)  Riwayat Melayu Kinta

Legenda ini menceritakan asal-usul hubungan orang Melayu yang digelar
‘Orang Baruh’ dan Orang Asli yang digelar ‘Orang Darat’.

Legenda ini menyebutkan bahawa
pada masa dahulu orang Melayu dan Orang Darat tinggal bersama di satu tempat.
Kemudian terjadinya banjir besar, yang mana kedua-dua puak ini lari
menyelamatkan diri masing-masing dari bencana itu. Orang Melayu menyelamatkan
diri ke kawasan rendah, atau disebut sebagai ‘baruh’, maka dari sini Orang
Darat memanggil mereka sebagai Orang Baruh. Sebaliknya oleh kerana Orang Darat
bergerak ke kawasan pedalaman maka sebab itulah mereka digelar Orang Darat.

Setelah beberapa lama, akhirnya
banjir itu surutlah. Maka kedua-dua puak tadi bertemu kembali dan bersama-sama
membuat satu perayaan. Dalam perayaan itu, satu pertandingan berenang diadakan
di sebuah tasik di mana setiap seorang perenang dari puak masing-masing akan
berenang sambil memegang satu surat, ‘manuskrip’ atau inskripsi yang menyimpan
maklumat asal-usul mereka. Namun apabila kedua-duanya sampai ke tengah tasik,
ribut petir telah melanda dan surat yang dipegang oleh perenang Orang Darat
telah hilang dalam ribut itu.

 Ini menyebabkan Orang Darat kehilangan warisan
bertulis mereka. Sebaliknya Orang Baruh masih mengekalkan surat mereka maka
sebab itulah keturunan Orang Baruh lebih cerdik dari keturunan Orang Darat.
Dengan ini Orang Baruh perlulah selalu menjenguk Orang Darat atau menjaga
mereka manakala Orang Darat pula perlu memberi bantuan kepada Orang Baruh.

2) Legenda Mawas & Siamang

Legenda ini didapati dari Orang Semang (dipercayai Orang Lanoh) di Ijok,
Selama dalam negeri Perak, ia dikumpulkan oleh I.H Evans pada tahun 1913. Menariknya
menurut Paul Schebesta, seorang pengkaji, legenda ini turut dikongsi oleh orang
orang Jahai di Perak dan orang Kintaq di Kedah. Namun ada sedikit variasi,
contohnya yang membakar rumput itu ialah Raja Beruk:

Suatu hari raja kepada mawas
yakni Raja Mawas, bertempur dengan raja kepada siamang yakni Raja Siamang, di
negara tempat nenek moyang kami tinggal. Nenek moyang kami melarikan diri dari
tempat itu, ketakutan akibat perang itu, dan menyembunyikan diri di dataran
yang diliputi oleh rumput. Raja Mawas mengalahkan Raja Siamang dan kemudiannya,
bersama-sama rakyatnya, melarikan diri dan bersembunyi di dataran yang sama
dengan nenek moyang kami bersembunyi. Raja Mawas datang dan membakar rumput di
dataran itu, dan Raja Siamang dan pengikutnya melarikan diri dan melintasi
Sungai Perak. Nenek moyang kami tidak melarikan diri, menyembunyikan diri dalam
lubang landak, untuk menyelamatkan diri dari api. Walaupun demikian, api itu
menghampiri mereka dan membakar rambut mereka, dan itulah sebabnya mengapa
kami, keturunan kami, mempunyai rambut keriting hingga ke hari ini.

Selepas perang berakhir, raja
segala beruk yakni Raja Beruk, menjadi hakim antara puak siamang dan puak
mawas, dan dia memberikan penghakiman bahawa siamang harus berdiam di tepi
selatan Sungai Perak dan mawas di sebelah utara; dan dengan demikianlah keadaan
mereka sampai ke hari ini, walaupun sebelum ini kedua-dua puak itu tinggal di
sebelah utara.

Nenek moyang orang Melayu, ketika peperangan ini terjadi, melarikan diri ke hilir membawa sudu nasi bersama mereka, dan itulah sebabnya orang Melayu menggunakan sudu (senduk) dalam memasak nasi mereka. Nenek moyang kami melarikan diri ke hulu membawa tongkat; dan itulah sebabnya mengapa kita masih menggunakan tongkat untuk menggali ubi di dalam hutan.

Cerita di atas tidak menampilkan kisah orang Melayu pada awalnya, hanya kisah konflik antara puak Siamang dan puak Mawas, serta bagaimana moyang orang Semang menyelamatkan diri. Kemudian barulah muncul kisah orang Melayu yang rupa-rupanya turut menyelamatkan diri daripada peperangan itu. Ini menunjukkan seolah-olah Semang dan Melayu tinggal di tempat yang sama dan terkesan dengan peperangan tersebut.

Analisis Ringkas

Sekarang mari kita analisis maklumat-maklumat menarik dari kedua-dua riwayat lisan ini.

Komuniti

Dalam kedua-dua riwayat, telah disebutkan bahawa orang Melayu dan Orang
Asli pernah tinggal dalam satu komuniti atau satu kawasan penempatan.

Bencana:

Dalam Riwayat Melayu Kinta, bencana yang berlaku adalah banjir, manakala
dalam Legenda Mawas & Siamang, bencana yang terlibat adalah peperangan.

Tempat Baru:

Dalam Riwayat Melayu Kinta, orang Melayu berhijrah ke kawasan lebih rendah
manakala Orang Asli berpindah ke kawasan pedalaman. Dalam Legenda Mawas &
Siamang, orang Melayu berhijrah ke hilir manakala Orang Asli berhijrah ke hulu.

Artifak:

Dalam Riwayat Melayu Kinta, kedua-dua kaum, yakni orang Melayu dan Orang
Asli memiliki ‘artifak’ berbentuk ‘surat’ yang mengandungi maklumat asal-usul
mereka.

Teknologi:

Dalam Legenda Mawas & Siamang, penyebutan tentang senduk nasi dan
tongkat itu melambangkan budaya dan teknologi yang diwarisi oleh Semang dan
Melayu, di mana orang Melayu mengamalkan budaya pertanian manakala orang Semang
mengamalkan budaya mencari hasil hutan.

Kesimpulan

Kewujudan
kedua-dua riwayat lisan yang menyebutkan perihal hubungan orang Melayu dan
Orang Asli ini membuktikan bahawa orang Melayu adalah pribumi di Malaysia
khususnya dan telah pun wujud seiring dengan Orang Asli sehingga rekod hubungan
ini dirakamkan dalam riwayat lisan.

Kedua-dua
riwayat ini juga jelas menyebutkan asal-usul orang Melayu dan Orang Asli yang
dahulunya serumpun atau hidup bersama-sama, kemudian dipisahkan oleh satu
kejadian yang merubah faktor sosial, ekonomi dan sejarah kedua-duanya.

Dengan
kemajuan dalam pelbagai bidang seperti linguistik, antropologi, genetik dan
arkeologi memungkinkan apa yang dirakam dalam kedua-dua riwayat lisan ini
memiliki nilai sejarah yang tersendiri.

RUJUKAN:

1.
Noraida binti
Harun dan Noor Ashikin binti Hamid, Akta orang asli 1954 (AKTA 1954) : Sejauh
Mana Melindungi Hak Orang Asli: Satu Kajian Perbandingan, Perpustakaan
Universiti Sultan Zainal Abidin

2. Prof.
Madya Dr. Zafarina Zainuddin, dipetik dari “Melayu,Orang Asli satu
rumpun”, Siti Haliza Yusop (2015), Berita Harian

3. Marina Roseman, May, 1979/2003, Malay and Orang
Asli Interactions:

Views From Legendary History,  Cornell University

4. Skeat, W. W. 1900 (1967). Malay Magic. New York:
Dover.

5. Schebesta, Paul. 1926. “Das Hala- oder Medizinmannwesen bei den
Semang auf Malacca,” Jahrbuch of St. Gabriel’s College (1926), Vienna.

6. Schebesta, Paul, 1928 (1973). Among the Forest
Dwarfs of Malaya. Kuala Lumpur: Oxford University Press.

7.
Salma Nasution Khoo, Abdur-Razzaq Lubis, Kinta Valley: Pioneering Malaysia’s
Modern Development, Areca Books, 2005

The post Hubungan Orang Melayu-Orang Asli Dalam Sejarah appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots