Huawei Mate 30 Lite Dikatakan Akan Hadir Dengan Cip Kirin 810 & Bateri 4000 mAh

Huawei dijangka akan hadir dengan Huawei Mate 30 pada tahun ini, yang mana mungkin akan diperkenalkan pada sekitar Oktober. Namun versi lebih mampu milik untuk siri Mate 30 ini juga akan diumumkan, dengan menyertakan spesifikasi kelas pertengahan.

Menurut laporan yang dikongsikan oleh laman IT Home, peranti ini dijangka akan dikuasakan dengan cip HiSilicon Kirin 810 bersama penggunaan GPU Mali-G52. Prestasi cip ini membawa kelajuan seumpama Snapdragon 730, sekaligus membuatkan peranti ini mampu menggalas sejumlah perkara dengan pantas dan lancar.

Huawei Mate 30 Lite juga dijangka akan menyertakan paparan bersaiz 6.4-inci dengan resolusi 3210 x 1080. Ia bakal menyertakan rekaan skrin berlubang, bagi perletakkan sensor 24MP untuk kegunaan swafoto. Pada bahagian belakang peranti, ia dilaporkan akan hadir dengan keupayaan empat kamera dengan susunan seumpama Mate 20 Pro.

Peranti ini juga dikatakan akan hadir dengan dua pilihan variasi, menerusi 6GB RAM + 128GB dan 8GB RAM + 128GB. Ia dijangka akan menyertakan bateri 4000 mAh yang mana boleh dicas secara pantas melalui pengecas 20W. Walaupun diasak dengan sekatan daripada A.S, peranti ini bakal dijana dengan EMUI 9.1 berasaskan Android 9.0 Pie.

Walau bagaimanapun, peranti ini masih tidak diketahui bilakah ia akan dilancarkan untuk pasaran pengguna. Dengan pelancaran siri Mate 30 pada sekitar September dan Oktober, kita mungkin dapat melihat Mate 30 Lite ini pada sekitar jangka masa tersebut.

Sumber : Amanz