Syor Kenaikan Gaji, Elaun Polis Diteliti Mendalam

PUTRAJAYA, 25 Jun (Bernama) — Syor kenaikan gaji dan elaun anggota polis berpangkat rendah memerlukan penelitian mendalam kerana sebarang kenaikan akan melibatkan kesan berganda, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Meskipun Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyokong syor itu namun tidak boleh memutuskannya secara sendirian dan perlu merujuk kepada pihak lain seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan sebelum membentangkannya ke Kabinet, katanya.

“Dalam keadaan semasa ekonomi negara, semua pihak perlu lebih bersabar sebelum sebarang keputusan terhadap cadangan itu diputuskan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Imigresen di sini hari ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan akan melihat syor Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berhubung gaji rendah anggota berpangkat sarjan ke bawah.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Abdul Rahim Jaafar pada 14 Jun lepas dilaporkan berkata kertas laporan kajian berhubung cadangan kenaikan gaji serta elaun melibatkan kira-kira 82,000 anggota polis berpangkat sarjan dan ke bawah akan diserahkan kepada kerajaan dalam tempoh dua bulan.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata urusan pengeluaran visa kepada pelancong China bagi memasuki Malaysia masih dikendalikan syarikat yang sama sehingga terdapat syarikat pengganti kepada entiti yang berdepan siasatan pihak berkuasa itu.

“Sehingga belum ada syarikat pengganti dan kes belum diselesaikan, kita benarkan pengurusan pengeluaran diteruskan oleh syarikat berkenaan,” katanya, sambil menambah kemasukan pelancongan China yang ramai antara faktor perkhidmatan syarikat itu diteruskan.

Syarikat berkenaan diberi hak eksklusif oleh KDN pada 2016 bagi mengendalikan Sistem Visa Luar Negara (VLN) atas talian termasuk eNTRI dan eVISA untuk pelancong China yang ingin datang ke Malaysia.

Sementara itu, Muhyiddin berkata beliau menyerahkan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk menyiasat dan menentukan status UMNO yang didakwa menerima dana daripada 1Malaysia Development Bhd  (1MDB) jika terdapat laporan dibuat mengenainya.

Semalam, Pemuda Pakatan Harapan menghantar surat ke RoS mendesak tindakan tegas dikenakan terhadap UMNO susulan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa beberapa cawangan parti berkenaan menerima wang berkaitan 1MDB.

Sumber: BERNAMA

Sumber : SiakapKeli