Tidak Semua Demam, Jangkitan Memerlukan Antibiotik – Dr Lee

George Town : Orang ramai perlu dihebahkan bahawa bukan semua demam atau jangkitan memerlukan sebarang antibiotik dan ia bukan penyembuhan magik untuk semua penyakit, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye hari ini.

Beliau berkata, contohnya viral jangkitan, tidak memerlukan sebarang antibiotik dan orang ramai tidak perlu meminta antibiotik daripada doktor untuk setiap penyakit.

Dr Lee menekankan bahawa para profesional kesihatan agar tidak silap dalam memberi antibiotik dan syarikat perubatan pula dinasihati agar mengamalkan pemasaran yang bertanggungjawab.

“Kami juga berharap syarikat farmaseutikal bertanggungjawab terhadap etika dan pemasaran yang bertanggungjawab dalam usaha mempromosi ubat-ubatan mereka. Dalam industri pertanian, kita berharap kawalan dalam penggunaan antibiotik bagi menggalakkan pertumbuhan dan dalam penternakan.

“Ini kerana semua penggunaan antibiotik itu menyebabkan terikan rintangan ke atas bakteria yang akan merembes menerusi alam sekitar dan akhirnya dalam tetapan kesihatan manusia,” katanya pada persidangan akhbar selepas merasmikan Bengkel Serantau Asia Mengenai Rintangan Antimikrobel (AMR), di sini.

Bengkel tiga hari yang bermula hari ini bertujuan untuk membincangkan mengenai pembangunan sejagat dan inisiatif terhadap AMR, dan berkongsi maklumat hingga negara-negara Asia dapat bertindak balas kepada krisis AMR, termasuk reaksi dasar di peringkat negara.

Bengkel itu disertai oleh penggubal dasar kebangsaan dari Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertanian, Kementerian Alam Sekitar dan para pakar dari 16 negara.

Dr Lee berkata, kerajaan memberi keutamaan tertinggi dalam berhadapan isu AMR dengan menubuhkan satu jawatankuasa AMR kebangsaan, yang dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan, Menteri Pertanian dan Asas Tani, dan wakil-wakil kanan dari kedua-dua kementerian.

“Di hospital kerajaan, kita juga mempunyai program Pengawasan AMR, di mana kita menyediakan garis panduan kepada doktor mengenai bila untuk digunakan, bila tidak perlu digunakan terutama bila tidak perlu menggunakan antibiotik. Antara program berkenaan melibatkan bagaimana untuk mengelakkan jangkitan di hospital,” katanya.

AMR adalah ancaman global yang signifikan kepada kesihatan orang ramai, keselamatan makanan dan pembangunan hari ini. UK Review dalam kajian berhubung AMR merumuskan berdasarkan kepada aliran pada masa sekarang akan terdapat 10 juta kematian di seluruh dunia akibat AMR pada 2050 dan sembilan juta akan berlaku di negara-negara sedang membangun (4.7 juta di Asia, 4.2 juta di Afrika dan 392,000 di Amerika Latin).

Sumber : Bernama

Sumber : SiakapKeli