OneDrive Personal Vault Mengunci Fail Peribadi Dengan Sokongan Biometri Dan 2FA

Storan awanan adalah cara paling mudah untuk melakukan sandaran pelbagai fail digital penting yang diletakkan di dalam komputer. Kami secara peribadi menggunakannya untuk menyimpan gambar dan fail Phostoshop. Dengan storan awanan masalah fail tertinggal di rumah, kehilangan pemacu mudah atau storan SSD rosak bukan lagi masalah. Antara storan awanan yang popular ialah OneDrive dan ia kini hadir dengan fungsi Personal Vault yang mengunci fail peribadi dengan sokongan biometri dan pengesahan dua faktor (2FA).

Personal Vault ialah folder yang boleh dihasilkan di dalam OneDrive untuk fail yang ingin anda sorokkan kandungannya dengan lebih terperinci. Ini mungkin adalah folder untuk nombor akaun bank, imbasan MyKad, atau pasport misalnya. Setiap kali folder ingin diakses, pengguna perlu melakukan pengesan identiti menggunakan sistem biometri, sistem 2FA, pin atau aplikasi Microsoft Authenticator.

Buat masa ini Personal Vault boleh digunakan pada OneDrive versi Android, iOS, Windows 10 dan aplikasi web. Ia walaubagaimapaun hanya ditawarkan kepada pengguna di Australia, Kanada dan New Zealand terlebih dahulu sebelum diberikan kepada pengguna global menjelang penghujung tahun.

Sumber : Amanz