Paten Huawei Mendedahkan Perancangan Menggunakan Rekaan Kamera Bawah Skrin

Oppo sudah memperlihatkan prototaip rekaan kamera di bawah skrin di acara MWC Shanghai 2019. Xiaomi pula hanya sekadar berkongsi video. Teknologi yang dahulunya dianggap fiksyen ini bakal mengubah rekaan peranti yang masih memerlukan takuk, lubang kamera dan kamera pop-naik semasa. Selain Oppo, Xiaomi dan Samsung, Huawei juga nampaknya mempunyai perancangan menggunakannya kelak.

Ini adalah berdasarkan paten rekaan antaramuka yang telah mereka patenkan kepada badan paten Jerman. Rekaan menunjukkan bagaimana bahagian skrin dengan kamera di bawahnya masih boleh digunakan untuk memaparkan pelbagai elemen antaramuka seperti panggilan telefon, notifikasi dan banyak lagi. Huawei nampaknya akan meletakkan kamera bawah skrin pada bucu atas kiri dan bukannya di tengah. Seperti biasa kewujudan paten tidak bermakna teknologi akan digunakan pada peranti sebenar dalam masa terdekat.

Sumber : Amanz