Fon Telinga Nirwayar Sony WF-1000XM3 Dilancarkan Dengan Pembatalan Hingar Aktif Dan Bateri 24 Jam

Fon kepala nirwayar paling menarik di pasaran sekarang ialah Sony WH-1000XM3 yang dilengkapi sistem pembatalan hingar aktif terbaik di pasaran dan sokongan pembantu maya. Bagi mereka yang lebih meminati rekaan fon telinga nirwayar, Sony WF-1000XM3 telah dilancarkan hari ini dengan fungsi setanding dengan WH-1000XM3.

Ia dilengkapi cip pembatalan hingar baharu QN1e yang menambah baik kemampuan yang ditemui pada QN1 pada WH-1000XM3.  Ini membolehkan hingar ditapis dari telinga pengguna tetapi masih memberikan kualiti audio yang baik. Terdapat pada sesentuh pada sisi fon telinga untuk kawalan pemain. Dengan sekali sentuh, mod Ambience boleh diaktifkan bagi membolehkan pemakai mendengar bunyi sekeliling. Sentuhan pada fon telinga bertentangan pula akan melancarkan pembantu maya pada peranti pintar pengguna.

Sony turut menyertakan cip khusus yang menstrim audio terus ke kedua-dua fon telinga WF-1000XM3 secara serentak. Fon telinga nirwayar lain di pasaran menstrim audio ke satu fon telinga yang kemudian memancarkan semula audio ke pasangannya.

Dengan sekali caj WF-1000XM3 boleh berfungsi selama 6 jam. Dengan pod pengecas, masa penggunaan sehingga 24 jam boleh dinikmati. Pengecasan selama 10 minit sahaja memberikan waktu operasi sehingga 90 minit dan dilakukan menerusi port USB-C. Akhir sekali kedua-dua fon telinga disimpan secara magnetik di dalam pod pengecas yang disertakan. Sony WF-1000XM3 dijual pada harga RM 949 bermula Ogos ini di Malaysia dengan pilihan warna hitam dan perak platinum.

Sumber : Amanz