Lagi Cabaran ‘Bottle Cap’ Jadi Sambutan Orang Ramai, Semakin Rancak Di Media Sosial

Kita sering disajikan pelbagai bentuk hiburan menerusi media sosial sama ada laman Facebook, Instagram dan juga Twitter. Dunia media sosial merupakan satu platform di mana pengguna lebih gemar berkongsikan cerita mahupun pengalaman yang dialami dalam hidup. Namun, rata-rata pengguna media sosial lebih gemar mempamerkan kehebatan masing-masing di dalam laman sosial mereka. Oleh itu, tidak hairanlah terdapat lambakan cabaran-cabaran di media sosial yang telah diikuti oleh kebanyakan warganet.

Jika sebelum ini tular mengenai ‘flipbottlechallenge’ yang dilakukan oleh kebanyakan orang, namun pada minggu ini, seorang bintang aksi filem yang terkenal, Jason Statham menerusi laman Instagram miliknya telah menyiarkan rakaman dia menendang penutup botol tanpa menjatuhkan botol tersebut. Rakaman tersebut yang dibuat dengan ‘slow motion’, dia memusingkan badannya sehingga 360 darjah sebelum kaki menyentuh penutup botol yang berputar sehingga terjatuh.

Perkongsian tersebut yang telah mencecah lebih 17 juta tontonan kini telah menjadi tular di media sosial dan juga ikutan anak-anak muda terutamanya.

Cabaran yang dinamakan sebagai ‘Bottle Cap Challenge’ ini dilakukan dengan memutarkan penutup botol sehingga jatuh dengan cara menggeserkan tapak kaki pada grid penutup tersebut. Namun, terlebih dahulu penutup botol tersebut akan dilonggarkan kepada satu tahap yang membolehkan penutup itu berputar dengan baik. Pelaku juga perlu mempunyai alat sokongan ataupun orang lain untuk memegang dgn kukuh botol tersebut supaya tidak jatuh.

Aksi tersebut juga akan dirakam dalam keadaan ‘slow-mo’ yang membolehkan aksi itu lebih jelas untuk ditonton.

Aksi menendang penutup botol sehingga jatuh ini berkemungkinan diinspirasikan oleh juara Taekwondo Kazakh, Farabi Davletchin. Perkara ini dapat dilihat menerusi rakaman yang dimuat naik dalam laman Instagram farakicks.

Menerusi kapsyen yang diturunkan pada rakaman tersebut, Davletchin mencabar beberapa selebriti seperti Jason Statham dan juga Jackie Chan untuk melakukan aksi tersebut. Hasilnya, Jason Statham telah menyahut cabaran tersebut sehinggakan rakamannya tular ke seluruh dunia.

Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia tidak terlepas daripada virus yang sedang melanda alam media sosial ini. Selain daripada golongan muda yang sedang bertungkus lumus melakukan aksi ini, selebriti tempatan juga tidak melepaskan peluang untuk melakukan aksi ini.

Sumber: Shah Reza Mohd Shah, The New York Times, Hairul Azreen Idris, Farakicks, Jason Statham

Sumber : SiakapKeli