225 Kawasan Berpotensi Mempunyai Toksik Di Pahang

KUANTAN, 5 Julai (Bernama) — Kerajaan negeri Pahang mengenal pasti 225 kawasan yang berpotensi mempunyai sisa toksik di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Perladangan dan Bioteknologi negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.

Beliau berkata Kuantan merupakan daerah paling banyak dikesan iaitu 69 lokasi diikuti Jerantut (67), Cameron Highlands (28), Temerloh (26), Bentong (7), Bera (6), Pekan (6), Raub (5), Rompin (4), Lipis (4) dan Maran (3).

Sehubungan itu, Mohd Sharkar berkata kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Pelupusan Bahan Buangan Berbahaya pada Mei lepas yang akan melaksanakan operasi dan memeriksa setiap kawasan yang dikenal pasti.

“Jawatankuasa ini akan melaksanakan operasi bersepadu dan penguatkuasaan melibatkan semua jabatan dan agensi berkaitan, dari negeri atau Persekutuan, dengan diketuai Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

“Kita perlu membuat pemeriksaan kerana dapatan itu daripada data bacaan satelit Agensi Remote Sensing Malaysia sensitif memerlukan pemeriksaan di lapangan untuk pengesahan,” katanya pada sidang media di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Sallehuddin, Ketua Pengarah Remote Sensing Azlikamil Napiah dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang Rosli Zul.

Sebagai contoh, Mohd Sharkar berkata dapatan di Cameron Highlands mungkin merujuk kepada sisa baja yang digunakan pekebun selain ada di antara bacaan itu apabila diperiksa melibatkan kawasan tanah lapang.

“Kita mahu tindakan segera diambil untuk mengurangkan risiko berlaku insiden pencemaran toksik. Malah Pahang merupakan negeri pertama menubuhkan jawatankuasa ini dan maklum balas mengenai hal ini dijangka akan diperoleh dalam tempoh sebulan,” katanya.

Mohd Sharkar menambah jawatankuasa itu juga bertangggungjawab meneliti permohonan kilang baharu, mengkaji semula permohonan sedia ada, melakukan pemeriksaan mengejut dan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) sekiranya menerima aduan berkaitan pencemaran dalam kadar segera.

Tindakan tegas juga akan diambil terhadap kilang yang mencemar alam sekitar seperti merampas semula tanah khususnya yang melibatkan kilang haram, katanya.

“Bagaimanapun kita berharap kerajaan Persekutuan boleh mengkaji semula berhubung isu kos dalam insiden pencemaran seperti siapa yang akan menanggung kos membersihkan sisa toksik kerana peruntukan lesen adalah di bawah kerajaan Persekutuan.

“Kita berharap mereka boleh mewujudkan satu peruntukan khas untuk menampung jika berlaku insiden pencemaran seperti di Sungai Kim Kim, Johor kerana kos untuk mencuci sisa toksik adalah tinggi,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Sumber : SiakapKeli