Waspada Para Suri Rumah, Campur Cecair Peluntur Dengan Cecair Pencuci Lantai Boleh Hasilkan Racun Merbahaya

Sedar akan kebersihan rumah itu sangat penting, kebanyakan orang pastinya menginginkan setiap sudut di dalam rumah berada dalam keadaan yang bersih, kemas dan cantik. Oleh yang demikian, pelbagai usaha dilakukan seperti menyapu sawang, mengemop lantai dan juga menyental dinding yang kotor dan berkeladak. Bagi memastikan lantai mahupun dinding seperti yang terdapat di dalam tandas berada dalam keadaan bersih, kebanyakan orang ramai terutamanya surirumah akan menggunakan peluntur bagi menghilangkan kotoran degil yang terdapat dalam dinding.

Namun begitu, harus disedari bahawa peluntur yang digunakan boleh menyebabkan keracunan kepada seseorang sehingga boleh menjejaskan pernafasan dan juga kesihatan. Seperti yang dinyatakan oleh Pusat Racun Negara melalui laman Facebook milik mereka, terdapat satu kes surirumah yang mengalami keracunan akibat mencampurkan cecair peluntur yang mengandungi Sodium Hipoklorit dengan cecair lantai yang mengandungi Asid Hidroklorik.

Gabungan antara kedua-dua bahan ini dikatakan bahaya kerana mempunyai unsur asas klorin. Apabila dicampur, tindakbalas kimia antara bahan ini akan membebaskan gas klorin yang beracun.

Seperti yang dinyatakan, gas klorin merupakan gas beracun yang boleh menyebabkan masalah terhadap saluran pernafasan manusia jika terdedah dan juga dihidu. Gas ini dikenali dengan warna kuning kehijauan yang boleh menyebabkan beberapa simptom. Antaranya ialah batuk, sesak nafas, sakit dada, pedih pada tekak, loya, muntah-muntah, pening, sakit kepala dan pelbagai lagi simpton yang lebih teruk jika terdedah pada jangka masa yang lama.

Pada 2 Julai lepas, pihak Pusat Racun Negara telah menyoal warganet melalui undian di Facebook yang memerlukan mereka memilih di antara kawasan kilang berdekatan dengan dari dalam rumah yang lebih mempunyai sumber klorin. Hasil daripada undian tersebut, rata-rata warganet mengundi ‘Dari Dalam Rumah’ sebanyak 61% berbanding ‘Kilang Berdekatan’ iaitu sebanyak 39%.

Oleh yang demikian, orang ramai terutamanya surirumah dinasihatkan supaya lebih berwaspada menggunakan cecair peluntur bagi tujuan mencuci lantai ataupun dinding rumah.

Sumber: Pusat Racun Negara

Sumber : SiakapKeli