Di Jepun Kereta Mula Disewa Untuk Tujuan Lain Dan Langsung Tidak Dipandu

Pemilikan kereta di Jepun adalah agak tinggi iaitu sekitar 70% kerana harga jualanya yang agak murah. Tetapi di kawasan bandar seperti Tokyo, pemilikan kereta adalah sekitar 50% kerana kos yang tinggi dan pengangkutan awam efisien. Jika kereta diperlukan, terdapat banyak perkhidmatan menyewa kenderaan boleh digunakan. Tetapi menurut laporan Asahi Shinbun, semakin ramai pelanggan menyewa kereta tetapi kenderaan langsung tidak dipandu.

Syarikat sewaan menyedari kenderaan yang disewa langsung tidak bergerak dari kawasan parkir. Kaji selidik dilakukan oleh dua syarikat menerima jawapan yang agak mengejutkan dari responden. Kereta disewa sebagai tempat tidur kerana kepenatan, mengecas telefon pintar. tempat makan dan melakukan panggilan telefon.

Ini adalah lebih murah untuk menyewa kereta berbanding kemudahan laun. Bayaran menyewa bermula dari 400 Yen (~RM 15) untuk setiap 30 minit. Responden berkata tidur di dalam kereta sewa adalah lebih murah dan mudah berbanding menyewa bilik hotel. Kereta juga sesuai digunakan untuk melakukan panggilan telefon. Di Jepun melakukan panggilan telefon di dalam kereta api dan kawasan awam dianggap sebagai kurang sopan. Tambah menarik ada yang sanggup menyewa kereta kerana gagal mencari tempah untuk menjamah makanan yang dibeli.

Trend menyewa kereta tetapi tidak dipandu semakin meningkat. Ia boleh dilakukan menerusi aplikasi telefon pintar dan beroperasi 24 jam. Syarikat menyewa risau ini akan mendatangkan kerugian kepada mereka kerana keuntungan bergantung kepada tempoh sewaan.

Sumber : Amanz