Kronologi Pemergian Presiden US – John F. Kennedy

Sepanjang
lipatan sejarah Amerika Syarikat, negara tersebut menyaksikan empat presiden
mati dibunuh semasa dalam tempoh perkhidmatan mereka. Mereka ialah Abraham
Lincoln (ditembak oleh John Wilkes Booth), James A. Garfield (ditembak oleh
Charles Guiteau), William McKinley (ditembak oleh Leon Czolgosz) dan John F.
Kennedy (ditembak oleh Lee Harvey Oswald). Antara mereka, pembunuhan JFK yang
dianggap paling kontroversi dan terus menimbulkan persoalan dalam kalangan
masyarakat sehingga hari ini.

Kennedy dan Oswald

Sebelum
kita melihat kisah pembunuhan presiden yang diselubungi kontroversi ini, apa
kata kita lihat dulu kisah pembunuhnya, Oswald. Oswald merupakan anak jati New
Orleans dan dilahirkan pada tahun 1939. Bapanya, Robert Edward Lee Oswald Sr
merupakan sepupu jauh jeneral Konfederasi terkenal, Robert E. Lee mati dua
bulan selepas Oswald dilahirkan. Selepas tinggal di rumah penjagaan anak-anak
yatim beberapa kali, dia berpindah bersama ibunya ke New York pada usia 12
tahun. Pada usia remajanya, Oswald pernah dimasukkan ke pusat tahanan juvana
kerana kesalahan ponteng sekolah tetapi turut menunjukkan minat terhadap
sosialisme.

Selepas
berpindah kembali ke New Orleans, Oswald menyertai Kor Marin Amerika Syarikat
pada tahun 1956. Sepanjang berkhidmat bersama kor berkenaan, dia diketahui amat
handal menembak dan disenangi oleh rakan sepasukannya. Beberapa tahun kemudian,
Kor Marin memberi perlepasan terhormat kepada Oswald pada tahun 1959 selepas
memohon dilepaskan bagi menjaga ibunya yang kurang sihat. Pada masa inilah, dia
kemudian memilih berpaling tadah kepada Kesatuan Soviet dan tinggal di sana
selama dua setengah tahun. Selepas dinafikan hak kerakyatan Soviet, Oswald cuba
membunuh diri dengan mengelar tangannya tetapi berjaya diselamatkan dan dirawat
di hospital. Selepas pulih, dia dipindahkan ke Minsk, Belarus (ketika itu
sebahagian daripada Kesatuan Soviet) dan bekerja di sebuah kilang televisyen
dan radio sambil dipantau oleh agensi perisikan Soviet, KGB. Sementara itu,
apabila pihak kor mendapat tahu tindakan Oswald berpaling tadah, mereka menukar
status terhormat Oswald kepada tidak dimahukan.

Oswald
akhirnya memilih kembali ke Amerika Syarikat pada tahun 1962 bersama isterinya,
Marina Prusakova dan anak pertama mereka, June. Dia berbuat demikian kerana
merasakan kerjanya membosankan dan tiada tempat dituju untuk membelanjakan
wang. Selain itu, ada yang berpandangan tindakan ini juga dilakukan berikutan
patah hati dengan seorang wanita bernama Ella German sebelum dia bertemu dan
berkahwin dengan Marina.

Setahun
selepas kembali ke Amerika dan menetap di Dallas/Fort Worth, Oswald membeli
selaras senapang dilengkapi skop penglihatan dan sepucuk revolver .38 melalui
pesanan pos. Senapang tersebut kemudiannya digunakan dalam cubaan bunuh ke atas
Jeneral Edwin Walker tetapi gagal. Cubaan bunuh Oswald terhadap Walker hanya
diketahui 10 hari selepas pembunuhan Kennedy dan ini didedahkan oleh Marina
semasa memberi keterangan terhadap Suruhanjaya Warren (suruhanjaya khas yang
menyiasat pembunuhan JFK). Pada September 1963, Oswald mengembara ke Mexico
City, Mexico untuk satu lagi cubaan mendapatkan visa ke Kesatuan Soviet dan
Cuba tetapi tidak berhasil. Di sinilah, dia bersumpah dia akan membunuh JFK
kerana ini.

Tatkala
‘ribut taufan’ ini rancak ke arah tarikh 22 November 1963, lain pula kisahnya
bagi JFK. Lawatan ke Texas sudah lama dirancang sejak dari awal tahun 1963
tetapi belum ditentukan tarikhnya. Lawatan ini dirancang bukan saja sebahagian
daripada kempen pemilihan semula Kennedy-Lyndon B. Johnson tetapi juga
merupakan usaha memantapkan semula perpaduan dalam kalangan anggota Demokrat
Texas yang berpecah kepada puak liberal dan puak konservatif. Selain itu, JFK
juga mahu memenuhi undangan makan malam penghargaan untuk Ahli Kongres Albert
Thomas yang diadakan di Houston pada 21 November 1963, sekaligus membolehkannya
mengadakan lawatan ke bandar-bandar lain di Texas termasuk Dallas.

Mengikut
jadual perjalanan JFK di Texas selama dua hari, hari pertama menyaksikan beliau
seharusnya memberi ucapan dedikasi untuk Sekolah Perubatan Aeroangkasa Tentera
Udara Amerika Syarikat di Pangkalan Udara Brooks, San Antonio sebelum
menghadiri majlis makan malam penghargaan Thomas sebelum bermalam di Hotel
Texas, Fort Worth. Pada hari kedua, rombongan JFK akan bersarapan bersama Dewan
Perniagaan Texas di Hotel Texas sebelum meneruskan perjalanan ke Dallas (makan
tengah hari dan ucapan bersama tokoh-tokoh masyarakat dan perniagaan di Dallas
Market Center), Austin (majlis makan malam kutipan dana di Municipal
Auditorium) dan diakhiri di Johnson City. Dari situ, JFK dan isterinya,
Jacqueline akan menghabiskan masa hujung minggu di ladang Johnson.

Memandangkan
lawatan JFK sudah dihebahkan kepada umum sejak Oktober 1963, maka logik juga
bagi Oswald membuat persediaan terhadap jenayah terburuk terhadap Presiden
Amerika Syarikat itu. Ini termasuklah bekerja di Depositori Buku Sekolah Texas
atas cadangan rakan isterinya, Ruth Paine. Kedudukan bangunan tersebut dilihat
sempurna untuk pembunuhan itu kerana kedudukannya amat hampir dengan laluan
rombongan kenderaan JFK. Oswald juga turut menyewa di sebuah rumah tumpangan di
pinggir bandar Dallas di bawah nama samaran O.H. Lee tetapi menghabiskan masa
pada hujung minggu di Irving bersama keluarganya. Sebulan sebelum pembunuhan,
anak kedua pasangan itu iaitu Audrey dilahirkan.

“Oh, no, no, no. My God.
They’re going to kill us all!”

Sehari
sebelum pembunuhan, Oswald meminta untuk menumpang kenderaan rakannya, Wesley
Frazier ke Irving atas alasan mahu mengambil rod langsir di rumahnya. Walaupun
ia dianggap luar biasa kerana selalunya dia hanya menumpang pada hujung minggu,
Frazier memutuskan untuk menumpangkan Oswald. Pada hari pembunuhan, dia
mengambil Oswald yang membawa sebuah beg kertas besar. Bila ditanya kandungan
beg tersebut, dia hanya menjawab itulah rod langsir yang hendak dibawanya.
Padahal dalam beg kertas itu, itulah raifal sama yang digunakan untuk cubaan
bunuh Walker dan kini, ia akan digunakan untuk JFK.

Apabila
rombongan JFK melalui Dealey Plaza pada 12.30 tengah hari, 22 November 1963,
tiga das tembakan dilepaskan Oswald terhadap rombongan. Satu das mengenai
kepala Kennedy dari belakang, satu das mengenai badan beliau dan Gabenor Texas,
John Connally dan satu das lagi tidak mengenai sasaran tetapi menyebabkan
serpihan yang mencederakan orang awam, James Tague. Selepas berjaya menembak,
Oswald menyembunyikan raifalnya di sebalik kotak-kotak dan keluar dengan tenang
dalam kekecohan yang berlaku. Pada mulanya, dia memilih menaiki bas tetapi
bimbang ditangkap, Oswald turun dan mengambil teksi kembali ke rumah
tumpangannya. Selepas kembali ke rumah tumpangannya, dia menyalin pakaian dan
membawa sepucuk revolver dengan niat bersembunyi atau melarikan diri.

Rajah 1: Keadaan Kennedy selepas ditembak oleh Oswald

Dalam
perjalanan, Oswald bertentang mata dengan askar negeri J.D Tippit yang berada
dalam kereta perondanya. Selepas selesai makan tengah hari, beliau ditugaskan meronda
kawasan kejiranan Oak Cliff selepas kekecohan pembunuhan JFK. Selepas beberapa
lama di situ, Tippit melihat kelibat seorang lelaki kurus berusia 30-an dan
ketinggian 177 cm yang menyamai ciri penembak JFK di depositori. Kedua-duanya
mula berbual dan apabila Tippit keluar dari kereta, beliau ditembak beberapa
kali oleh Oswald sebelum melarikan diri. Seorang orang awam yang melihat
kejadian itu kemudiannya mengambil radio kereta peronda Tippit dan segera
melaporkan apa yang berlaku. Oswald kemudiannya ditahan di panggung Texas
Theatre pada 1.40 petang selepas dikesan memasuki panggung tanpa membayar
tiket.

Semasa
dalam tahanan, dia enggan menjawab dalam sesi soal siasat dan bertegas bahawa
dia dijadikan kambing hitam. Dua hari selepas pembunuhan JFK, Oswald dalam
proses dipindahkan ke penjara daerah oleh pihak berkuasa apabila dia ditembak
oleh pengusaha kelab malam, Jack Ruby. Dia kemudian dikejarkan ke Hospital
Memorial Parkland, hospital sama yang merawat JFK dua hari sebelumnya dan mati
pada 1.07 petang akibat pendarahan yang banyak dari luka tembakan di abdomen.

Rajah 2: Ruby menembak Oswald semasa dia dipindahkan dari balai ke penjara daerah.

Ruby
kemudiannya ditahan dan dibicarakan atas tuduhan membunuh Oswald pada tahun
1964 tetapi berjaya digugurkan atas alasan teknikal dan mahu mendapatkan hak
perbicaraan baru. Bagaimanapun, dia gagal mendapatnya selepas mati di hospital
sama yang merawat Kennedy dan Oswald pada 3 Januari 1967 akibat embolisme
pulmonari.

LBJ dan Suruhanjaya Warren

Berbalik
semula pada sehari selepas pembunuhan, Johnson bersama rombongan lain termasuk
Jacqueline kembali ke Air Force One bersama keranda yang membawa mayat JFK.
Selepas mendapat nasihat Peguam Negara yang juga adik JFK, Robert Kennedy,
Johnson kemudiannya mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat Ke-36
sambil disaksikan oleh Jacqueline, anggota rombongan, media dan Hakim Sarah
Hughes.

Rajah 3: Johnson mengangkat sumpah sebagai presiden sambil disaksikan Hakim Sarah Hughes dan Jacqueline Kennedy.

Selepas
mengangkat sumpah dan diminta memberi kenyataan, beliau berkata, “Ini masa yang
menyedihkan untuk semua orang. Kita mengalami kehilangan yang tidak boleh dicari
ganti. Bagi saya, ini satu tragedi peribadi yang memberi kesan mendalam. Saya
tahu seluruh dunia berkongsi kesedihan yang dialami Puan Kennedy dan seluruh
keluarganya. Saya akan melakukan yang terbaik. Itu saja yang saya boleh
lakukan. Saya meminta bantuan anda dan Tuhan.” Pada pagi yang sama, Johnson
turut mengisytiharkan 25 November sebagai hari berkabung.

Upacara
pengebumian JFK diadakan pada 25 November yang menyaksikan 800,000 orang
berbaris sepanjang Pennsylvania Avenue untuk melihat kerandanya diusung dari
Capitol Rotunda ke Katedral Katolik St Matthew. JFK dikebumikan dengan
penghormatan tentera sambil disaksikan oleh pemimpin-pemimpin dunia dan anggota
monarki seperti Putera Philip (suami dan wakil Ratu Elizabeth II), Presiden
Perancis, Charles de Gaulle dan wakil Nikita Khruschev merangkap Timbalan
Perdana Menteri Pertama Soviet, Anastas Mikoyan.

Rajah 4: Upacara pengebumian Kennedy di Washington.

Untuk
mengetahui apa sebenarnya berlaku di Dallas, Texas pada 22 November 1963,
Kongres dan Senat berhasrat menubuhkan panel siasatan masing-masing untuk
menyiasat apa yang berlaku. Bagi mengelak konflik antara kedua-dua dewan,
Johnson mengarahkan penubuhan Suruhanjaya Warren diketuai Hakim Ear Warren dan
dianggotai oleh Allen Dulles (Pengarah Agensi Keselamatan Pusat (CIA)), John J.
McCloy (bekas presiden Bank Dunia), Gerald Ford (bakal presiden dan ketua
minoriti Republikan), Senator Republikan, John Sherman Cooper, Ahli Kongres
Demokrat, Hale Boggs dan sekutu rapat Johnson, Richard Russell Jr. Selepas
siasatan selama setahun, suruhanjaya mendapati Oswald bertindak bersendirian
semasa membunuh Kennedy dan mencederakan Connally.

Namun,
ia mencetuskan rasa curiga bukan saja dalam kalangan orang ramai tetapi juga
membabitkan Senat dan Kongres. Ini membawa kepada penubuhan Jawatankuasa Khas
Dewan Amerika Syarikat berkenaan Pembunuhan membabitkan pembunuhan JFK dan
pembunuhan Martin Luther King Jr pada tahun 1968. Jawatankuasa ini
bertanggungjawab mewujudkan teori penembak kedua berdasarkan bukti bunyi
rakaman radio polis Dallas di mana pakar mengatakan 95% kemungkinan satu lagi
das tembakan dilepaskan. Jawatankuasa khas turut berpandangan agensi-agensi
kerajaan seperti Jabatan Keadilan, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan CIA
menyembunyikan maklumat yang dilihat relevan kepada siasatan Suruhanjaya
Warren.

Pada
tahun 1992, selepas filem JFK ditayangkan di panggung, ia mewujudkan semula
minat kepada orang ramai untuk pembunuhan JFK. Minat dan desakan orang ramai
ini membawa kepada penggubalan Akta Pengumpulan Rekod Pembunuhan John F.
Kennedy atau Akta JFK pada tahun sama untuk mengumpul dan menjadikan semua
rekod berkenaan pembunuhan JFK boleh diakses oleh orang ramai. Dari tahun 1994
hingga 1998, 60,000 dokumen atau empat juta halaman dilepaskan kepada khalayak.
Ini disusuli baki 5,000 lagi dokumen atau dua juta halaman dilepaskan kepada
khalayak pada 2017 dengan pengecualian diberi kepada dokumen yang ditangguhkan
perlepasannya atas sebab mengancam keselamatan negara dan mengancam keharmonian
orang awam. Pada Ogos 2018, Presiden Donald Trump menangguhkan perlepasan baki
dokumen kepada khalayak selama tiga tahun dan hanya akan dilepaskan pada 26
Oktober 2021.

Teori konspirasi pembunuhan JFK

Disebabkan
sikap curiga orang ramai terhadap cara pihak kerajaan mengendalikan siasatan
pembunuhan JFK lebih-lebih lagi selepas insiden Watergate, ia turut mewujudkan
teori konspirasi yang melambak. Antara teori yang popular:

1.
Teori penembak kedua yang dibangkitkan oleh Jawatankuasa Khas Dewan Amerika
Syarikat berkenaan Pembunuhan. Jawatankuasa membuat kesimpulan demikian selepas
pakar bunyi menyatakan 95% kedengaran bunyi satu lagi das tembakan dalam
rakaman radio polis Dallas pada hari pembunuhan JFK. Bagaimanapun, melalui
pengenalan teknologi terkini dan analisis pakar akustik, teori tersebut tidak
mempunyai asas dan sebaliknya menunjukkan hanya tiga das tembakan yang
dilepaskan oleh Oswald pada hari berkenaan.

2.
Pembunuhan dikatakan didalangi oleh kumpulan elit yang diketuai oleh David
Rockefeller yang mahu mengekalkan kuasa golongan elit dan menggalakkan lagi
pembabitan ketenteraan Amerika Syarikat di Vietnam. Teori ini dikukuhkan lagi
dengan kenyataan Johnson dalam mesyuarat pembunuhan itu yang menyifatkan
pembunuhan JFK sebagai karma kerana penglibatannya dalam rampasan kuasa dan
pembunuhan Presiden Vietnam Selatan, Ngo Dinh Diem.

3.
Pembunuhan dikatakan didalangi oleh mafia yang tidak senang dengan tindakan
Bobby Kennedy melancarkan perang ke atas kongsi gelap. Dengan pembunuhan JFK,
ia dapat membantu mereka menyingkirkan Bobby dari kedudukannya sebagai Peguam
Negara Amerika Syarikat. Penulis teori konspirasi menuding jari kepada pembunuh
Oswald, Ruby yang dikatakan mempunyai kaitan dengan mafia Sam Giancana.

4.
Pembunuhan didalangi oleh kelompok pejuang anti-Castro yang bersekongkol dengan
Cuba yang berpunca daripada kegagalan operasi Bay of Pigs. Bay of Pigs ialah
satu operasi rahsia untuk merampas Cuba dari Fidel Castro dengan sokongan
ketenteraan Amerika Syarikat. Namun pada saat akhir, Kennedy menarik balik
sokongan logistik yang diperlukan dan ramai pejuang anti-Castro terbunuh atau
ditahan. Pengabaian ini mewujudkan rasa dendam tiada kesudahan mereka terhadap
JFK termasuk keinginan untuk membunuhnya. Bagaimanapun, Havana menafikan
sekeras-kerasnya pembabitan mereka atas alasan jika ia memang dilakukan, ia
boleh menyaksikan negara tersebut berhadapan setiap inci kekuatan ketenteraan
Amerika sebagai tindakan balas terhadap pembunuhan JFK.

5.
Pembunuhan didalangi oleh Israel selepas JFK berhasrat menekan Tel Aviv untuk
mendedahkan reaktor nuklear Dimonanya. Pembunuhan ini dikatakan digerakkan oleh
CIA dan Mossad selain mendapat sokongan Meyer Lansky (akauntan mafia) dan
Anti-Defamation League. Namun, tindakan ini dianggap tidak logik kerana
berpotensi menjejaskan hubungan baik Tel Aviv-Washington dan mengakibatkan
negara itu bersendirian dalam berhadapan negara-negara Arab yang disokong oleh
Soviet.

6.
Soviet dituduh melancarkan operasi pembunuhan Kennedy sebagai tindak balas
terhadap Krisis Peluru Berpandu Cuba. Pandangan ini dinyatakan oleh
Jawatankuasa Khas Dewan dan disokong oleh beberapa pembelot Soviet berprofil
tinggi. Bagaimanapun, teori ini tidak kukuh kerana Soviet tiada motif untuk
membunuh Kennedy dan percaya jika jenayah tersebut terdedah, ia bakal
mencetuskan perang antara kedua-dua negara.

Teori Bob Baer

Bagi
bekas pegawai CIA, Bob Baer, tragedi pembunuhan Kennedy merupakan sesuatu yang
harus disiasat dengan sebaik mungkin lebih-lebih lagi selepas lebih banyak
dokumen sulit berkaitan pembunuhan tersebut didedahkan kepada khalayak. Ini
membawa kepada satu siasatan baru yang disiarkan dalam program JFK Declassified:
Tracking Oswald yang disiarkan History pada tahun 2017. Dan ini membawa kepada
satu teori baru yang mengejutkan.

Baer
berpandangan memang benar Oswald merupakan penembak tunggal yang menembak mati
JFK, satu kesimpulan yang dinyatakan oleh Suruhanjaya Warren dan Jawatankuasa
Khas Dewan. Tetapi tidak seperti anggapan dua badan berkenaan yang menyimpulkan
dia bertindak bersendirian, beliau percaya Oswald sebenarnya disokong oleh
kumpulan pejuang anti-Castro yang dikenali sebagai Alpha 66 yang turut mengandungi
beberapa ejen rahsia Cuba. Kumpulan ini mendapat latihan ketenteraan oleh CIA
dalam banyak hal termasuk pembunuhan dan sabotaj. Ini dibuktikan menerusi
kewujudan dokumen berlabel JM Move dan penemuan beberapa kelongsong peluru di
Louisiana yang dilihat sama dengan kelongsong raifal yang digunakan oleh
kumpulan tersebut.

Baer juga percaya laluan Oswald yang disangka orang gila oleh Suruhanjaya Warren dan Jawatankuasa Khas Dewan kerana tiada hala tuju itu sebenarnya menutup cara bagaimana dia bersembunyi dan melarikan diri melalui penemuan tiket pindahan bas dan penemuan laluan belakang bas di satu kawasan kejiranan di Dallas. Tambahnya, Alpha 66 juga bertanggungjawab membantunya semasa semua itu berlaku termasuk menyediakan rumah selamat untuk membantu Oswald bersembunyi.

Jika dia memilih berlagak selamba daripada bertindak semberono menembak Tippit, Oswald boleh saja sampai di salah satu daripada beberapa rumah selamat Alpha 66 dan bersembunyi hingga keadaan kembali tenang. Dari situ, dia boleh menggunakan tiket pindahan bas yang diambilnya semasa menaiki bas beberapa minit selepas insiden pembunuhan JFK dan menghilangkan diri. Dan berdasarkan rekod, Baer dan regu penyiasat Adam Bercovici tidak menolak pembabitan mereka dalam cubaan pembunuhan Walker beberapa bulan sebelumnya termasuk membantu Oswald melarikan diri selepas cubaan pembunuhan itu gagal.

Dalam
siasatan sama, mereka turut mendapati Cuba tahu tentang peristiwa berkenaan
hasil perbualan mereka dengan seorang bekas pegawai perisikan Cuba. Pegawai
tersebut mendakwa antena radio yang selalunya dihalakan ke Washington diarah
ditukar arahnya ke Dallas bagi membolehkan Castro mendengar sendiri apa yang
berlaku pada 22 November 1963. Bagi menguji kesahihan keterangan tersebut,
mereka mengadakan satu eksperimen di mana Baer menggunakan satu alat yang
menguatkan isyarat radio dari Dallas dengan satu kumpulan diketuai Marty
Skovland menggunakan aerial dari sebuah bot berhampiran perairan Cuba.

Kumpulan
ini memainkan peranan sebagai menara radio yang menangkap isyarat radio dari
Dallas. Hasilnya amat mengejutkan, kumpulan Skovland dapat mendengar dengan
jelas rakaman radio pada hari pembunuhan JFK yang dimainkan Bercovici yang
dikuatkan isyaratnya oleh Baer. Bagaimanapun menurut Baer, itu masih tidak
menjelaskan sama ada Havana benar-benar terlibat dalam pembunuhan itu atau ia
sememangnya didalangi oleh kumpulan anti-Castro. Ini kerana masih banyak
persoalan yang masih belum terjawab seperti pembabitan Ruby dan apa rahsia yang
sangat penting yang memerlukan Oswald dibunuh.

Tambah
Baer, jenayah sebenar yang menyelubungi pembunuhan JFK bukan sekadar pembunuhan
presiden paling berprofil tinggi itu tetapi cubaan Rumah Putih dan
agensi-agensi kerajaan menutup sebarang maklumat Oswald pra-pembunuhan dan
bagaimana ia disembunyikan dari pengetahuan dua badan yang ditugaskan menyiasat
pembunuhan itu. Baer berkata, “Mereka mempunyai 25 tahun untuk menghitamkan dan
melindungi sumber serta kaedah untuk menjayakannya. Apa yang mereka lindungi
berkenaan maklumat Oswald dan itu saja. Saya tidak nampak sebarang konspirasi
kerajaan tetapi melindungi dan tidak menyerahkan maklumat kepada Suruhanjaya
Warren termasuk memusnahkan maklumat, ianya sudah terbukti.”

Baer pernah mengalaminya sendiri apabila cuba meminta satu pita mengandungi kes pembunuhan Kennedy semasa berkhidmat bersama CIA tetapi pita tersebut disembunyikan. Begitu juga apabila beliau dan Bercovici cuba melihat pita mengandungi latihan pejuang anti-Castro semasa menyiasat pembunuhan JFK itu tetapi selepas meneliti semua pangkalan data mereka, pita itu tiada langsung.

Selepas meneliti semua dokumen yang dilepaskan, Baer berpandangan Perkhidmatan Rahsia boleh saja bertindak lebih pantas termasuk menahan Oswald atas sebab keselamatan sekaligus membolehkan tragedi pembunuhan yang melanda Kennedy dapat dielakkan. Tetapi atas sebab mahu mengelak malu, maka siasatan terhadap pembunuhan itu dihentikan. Maka elok ia diakhiri dengan kata-kata Baer, “Ianya bukan yang difikirkan oleh ahli-ahli teori konspirasi – lelaki berpayung hitam, penembak kedua di padang rumput, jenayahnya ialah menutup semua maklumat yang relevan terhadap siasatan.”

RUJUKAN:

1.
History. (2018). Assassination of John F. Kennedy. https://www.history.com/topics/us-presidents/jfk-assassination

2.
History. (2017). JFK Declassified: Tracking Oswald. Episod 1 – The Iron
Meeting. https://www.dailymotion.com/video/x5jrebs

3.
History. (2017). JFK Declassified: Tracking Oswald. Episod 2 – The Russian
Network. https://www.dailymotion.com/video/x6ci8w7

4.
Pruitt, Sarah. (2017). JFK Files: Cuban Intelligence Was in Contact With
Oswald, Praised His Shooting Ability. History. https://www.history.com/news/what-the-jfk-assassination-files-say-declassified-release-oswald

5.
M. Gillon, Steven. (2017). Why the Public Stopped Believing the Government
about JFK’s Murder. History. https://www.history.com/news/why-the-public-stopped-believing-the-government-about-jfks-murder

The post Kronologi Pemergian Presiden US – John F. Kennedy appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots