KKM Nafi Punca Wanita Meninggal Disebabkan Pencemaran

Hari ini tular di media sosial mengenai kes pertama yang meragut nyawa seorang wanita dipercayai akibat pencemaran di Pasir Gudang.

Wanita berkenaan yang dikenali sebagai Marini Kasman merupakan penduduk di kawasan tersebut didakwa mengalami sesak nafas akibat pencemaran udara ketika mendapatkan rawatan di hospital.

Namun, sebentar tadi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tampil menafikan punca kematian wanita berkenaan adalah disebabkan masalah pencemaran.

Melalui satu kenyataan yang dimuat naik di laman facebook rasmi, pihak KKM menegaskan bahawa punca kematian wanita itu adalah berkaitan dengan masalah kesihatan kronik yang telah dihidapinya selama 10 tahun.

”Wanita yang dimaksudkan adalah merupakan seorang penghidap penyakit kronik terutama penyakit hipertensi (darah tinggi) selama 10 tahun,” katanya.

Menurut KKM, hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati mangsa mengalami sesak nafas akibat kegagalan jantung berfungsi yang disebabkan oleh penyakit tersebut.

”Berdasarkan presentasi klinikal, gejala yang dialami serta hasil pemeriksaan/ujian berkaitan telah menunjukkan beliau mengalami kegagalan jantung dan fungsi jantung yang merudum akibat masalah kesihatan yang kronik,” katanya.

Malah, berdasarkan rekod rekod kesihatan, KKM turut mengesahkan bahawa arwah tidak pernah mendapatkan rawatan semasa kejadian berlaku di Sungai Kim Kim.

”Semakan laporan sedia ada di HSI Johor Bahru juga mendapati bahawa tiada rekod yang melaporkan arwah pernah mendapatkan rawatan semasa kejadian di Sungai Kim Kim atau sejak 20 Jun 2019 lalu (iaitu apabila terdapat laporan kejadian pelajar sekolah sesak nafas di Pasir Gudang),” katanya.

Berikut adalah kenyataan penuh dari KKM :

Sumber : KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Sumber : SiakapKeli