Dua Buah Sekolah Ditutup Akibat Banjir Di Melaka

MELAKA – Dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong di daerah Melaka Tengah dan SK Belimbing Dalam di  Alor Gajah terpaksa ditutup akibat banjir kilat yang melanda negeri ini sejak semalam.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Datuk Abu Bakar Sahari berkata kedua-dua sekolah tersebut ditutup mulai hari ini  (Isnin) setelah dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk menempatkan mangsa banjir.

Dalam kenyataan di sini malam tadi, beliau berkata 1,236 orang murid dan 71 orang guru terjejas di SK Krubong, manakala di SK Belimbing Dalam pula membabitkan 484 orang murid serta 40 orang guru.

“Bagaimanapun, hanya murid sahaja yang dibenarkan untuk tidak ke sekolah manakala guru yang tidak terlibat dengan bencana banjir ini diminta untuk hadir ke sekolah seperti biasa,” katanya.

Abu Bakar berkata sebuah lagi sekolah di Alor Gajah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pengkalan turut digunakan sebagai PPS dan menempatkan 122 mangsa daripada 34 buah keluarga namun sesi persekolahan berjalan seperti biasa.

Sementara itu, menurut laporan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri sehingga jam 8 malam tadi, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,149 orang melibatkan 260 keluarga  berbanding 745 orang mangsa daripada 150 keluarga pada sebelah petang.

Sumber: BERNAMA

Sumber : SiakapKeli