Ibu buat laporan polis anak perempuannya dirotan kerana tak buat kerja sekolah

Satu Facebook Group (SJK(C) Fees Monitoring Forum membangkitkan isu murid di Tahun 5 dirotan oleh Guru Sains/Pendidikan Jasmani. 
Namun salah seorang ibu kepada murid terbabit menyangka hukuman itu dikenakan kerana anak perempuannya tidak membawa kerja sekolah subjek Sains ke sekolah meskipun pada hari itu tiada kelas untuk subjek tersebut. 
Melihat isu yang dibangkitkan itu semakin melarat, beberapa ibu bapa murid yang lain mula tampil mempertahankan guru itu dengan menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku. 
Difahamkan, guru terbabit memberi kerja sekolah pada kelas terakhirnya 28 Jun lalu dan meminta murid-murid menyiapkan tugasan itu pada hujung minggu. 
Mereka juga diarahkan untuk membawa semula kerja sekolah itu pada 1 Julai (Isnin) walaupun pada hari itu tiada kelas subjek sains. Lebih dari separuh kelas gagal menyiapkan atau membawa kerja sekolah itu menyebabkan guru berkenaan menghukum mereka dengan merotan tapak tangan secara tidak keterlaluan. 
Selepas memeriksa kerja sekolah muridnya, guru berkenaan yang juga guru pendidikan jasmani mereka meneruskan kelas itu seperti biasa dan membenarkan murid-murid bermain bola keranjang. 
Malangnya, salah seorang murid perempuan mengadu kepada ibunya mengenai perkara itu. Berang dengan perkara itu, si ibu terus menghubungi Guru Besar sekolah tersebut untuk menuntut penjelasan. 
Kebetulan pada hari itu, Guru Besar tiada di pejabat kerana ada urusan di luar. Si ibu yang tidak berpuas hati kemudian memanjangkan perkara itu kepada Menteri Pendidikan dan mendakwa Guru Besar berkenaan enggan bertemu dengannya. 
Guru Besar yang mengetahui aduan wanita itu memohon maaf dua kali, tetapi ditolak kerana didakwa tidak ikhlas dan menuntut Guru Besar itu membuat permohonan maaf secara ikhlas, sebelum membuat laporan polis pada 3 Julai (Rabu) di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang berhubung kejadian rotan tersebut. 
Tidak diketahui apa yang dimahukan oleh ibu murid itu, namun tindakannya membuat laporan polis tersebut membuatkan guru terbabit terpaksa berdepan dengan pihak polis untuk membantu siasatan. 

Sumber : TheReporter