Imej Pengolokan Terbaru Pixel 4 XL Memperlihatkan Rekaan Hadapan Tanpa Takuk

Beberapa bulan lalu, Google telah memperlihatkan sedikit rekaan Google Pixel 4 melalui akaun media sosial rasmi mereka. Kini, @OnLeaks x PriceBaba yang terkenal dalam berkongsi info peranti baru telah memperlihatkan rekaan peranti ini melalui imej pengolokan terbaru.

Imej pengolokan ini memperlihatkan rekaan hadapan secara sepenuhnya dengan menyajikan rekaan hadapan tanpa takuk. Rekaan ini dilihat seumpama Google Pixel 3A XL, yang mana menyajikan bingkai atas yang sedikit tebal. Namun rekaan bawahnya hadir dengan bingkai yang lebih nipis, sekaligus melenyapkan kebolehan pembesar suara pada bahagian hadapan.

Seperti rekaan yang tertiris sebelum ini, fungsi kamera Pixel 4 dijangka akan hadir dalam rekaan berpetak, dengan penyertaan dwi-kamera utama. Ia dilaporkan akan hadir dengan kamera telefoto tanpa perletakkan kamera ultralebar seperti peranti yang lain. Apa yang menarik lagi, ia juga dijangka akan menyertakan kebolehan penggambaran dengan ruang warna P3 bagi membolehkan peranti ini memberi hasilan warna yang lebih menyeluruh.

Seperti pelancaran Pixel sebelum ini, Pixel 4 dijangka akan dilancarkan pada sebuah acara khas yang mana bakal berlangsung pada sektiar Oktober. Ia mungkin akan hadir dengan dua variasi, menerusi Pixel 4 dan Pixel 4 XL dengan penawaran saiz peranti dan kapasiti bateri yang berbeza.

Sumber : Amanz