“Tiada Ubat Untuk Merawat Rabun” KKM Minta Orang Ramai Jangan Terpedaya

Semakin hari semakin ramai penjual produk-produk overclaim yang mendakwa boleh menyembuhkan pelbagai penyakit antaranya masalah rabun, kencing manis sehinggalah masalah serius seperti kanser dan ketidaksuburan.

Tindakan penjual produk-produk ini ibarat menangguk di air keruh dan pentingkan diri kerana sanggup mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain dengan menawarkan harapan palsu semata-mata bagi mendapatkan keuntungan peribadi.

Bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan pasti sanggup melakukan apa sahaja biarpun terpaksa melaburkan wang beratus sehingga ribuan ringgit hanya untuk sembuh. Malangnya, ada golongan tegar menggunakan keterdesakan pesakit untuk menjadi kaya, bahkan sanggup menyalahgunakan nama Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melariskan produk mereka.

Berikutan itu, KKM telah mengeluarkan kenyataan menafikan adanya ubat yang mampu merawat rabun dan menyarankan sesiapa yang mengalami masalah penglihatan untuk terus berjumpa doktor. Mereka juga melarang pengguna membeli ubat atas talian secara sesuka hati.

Mengikut Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956, Seksyen 3, penjual sama sekali dilarang mendakwa produk mereka mampu menyembuhkan 20 jenis penyakit antaranya penyakit melibatkan buah pinggang, kusta, masalah jantung, diabetes, sawan, lumpuh, batuk kering, athma, kanser, masalah pendengaran, masalah penglihatan, darah tinggi, masalah mental, ketidaksuburan dan kegagalan fungsi seksual.

Sekiranya anda mendapati terdapat peniaga yang mendakwa produk mereka mampu menyembuhkan penyakit-penyakit tersebut, awas, jangan terpedaya dengan dakwaan mereka.

Para doktor pakar dan saintis belajar bertahun-tahun untuk mengkaji sesuatu jenis penyakit dan ubatnya. Jadi, berhati-hatilah apabila ada orang yang bukan pakar atau ahli perubatan tiba-tiba mendakwa produknya mampu menyembuhkan anda.

Disebabkan itulah sebagai salah satu adab menziarahi orang sakit, kita tidak digalakkan untuk memberi saranan kepada pesakit untuk mencuba sesuatu ubat, jamu dan sebagainya. Di samping boleh melukakan hati pesakit dan keluarga, ia juga dikhuatiri akan memberi kesan lebih buruk kepada pesakit.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Sumber : SiakapKeli