“Doktor, Saya Betul-Betul Minta Maaf Sebab Susahkan Doktor” Pesakit Cuba Bunuh Diri, Doktor Kongsi Tanda Depresi

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Penyakit psikologi masih dipandang enteng dalam kalangan masyarakat kita. Ramai yang memandang golongan mengalami tekanan mental sebagai sengaja cuba mencari tumpuan orang ramai dengan mencederakan diri sendiri.

Hakikatnya, ramai antara mereka yang betul-betul memerlukan pertolongan. Tiada sesiapa yang ingin mati mahupun cederakan diri sendiri. Namun bagi mereka yang mengalami depresi teruk, mereka akan merasakan diri sendiri tidak berguna, tiada harapan untuk hidup, menyusahkan orang lain hingga membuatkan mereka berfikir lebih baik mereka mati berbanding menyusahkan orang sekeliling.

Oleh itu, ada yang mengambil keputusan untuk membunuh diri.

Seorang doktor, Nur Atikah Razali berkongsi pengalamannya merawat seorang pesakit yang cuba menamatkan riwayat sendiri. Berikut adalah perkongsiannya.

“Doktor, Saya Betul-Betul Minta Maaf. Maaf Sebab Susahkan Doktor..”

Seorang pesakit dibawa ke hospital dan dimasukkan ke wad psikiatri kerana percubaan membunuh diri disebabkan kemurungan dan tekanan yang teruk.

Hari itu, ditakdirkan oncall saya agak sibuk, hanya sejam dapat melelapkan mata, itu pun terjaga berkali-kali kerana menjawab panggilan telefon untuk kes-kes rujukan.

Pagi itu, saya berkejaran pula bertemu pesakit tersebut untuk mengetahui sejarah dan cerita yang berlaku.

Mungkin dirinya perasan mata merah doktor di hadapannya menahan ngantuk.

“Oh, tak perlu minta maaf. Kami di sini untuk membantu awak.”

Ayat spontan yang keluar menterjemah empati.

Tanpa stigma dan perjudis pastinya.

Bunuh diri punca kematian kedua tertinggi di serata dunia -WHO

Gambar hiasan. (Kredit: Biblical Counseling Center)

Antara tanda-tanda kemurungan selain perasaan sedih, putus asa dengan kehidupan, gangguan tidur dan selera makan, tidak boleh fokus serta merasa bersalah; fikiran atau cubaan untuk membunuh diri adalah keadaan yang memerlukan seseorang itu dapatkan pertolongan segara!

Menurut World Health Organization (WHO), kini bunuh diri adalah penyebab kematian kedua tertinggi di serata dunia selepas kemalangan jalanraya, bagi kalangan golongan muda berumur 15 hingga 29 tahun.

“Kematian akibat bunuh diri boleh dielakkan”

Dapatkan bantuan segera dengan pergi ke klinik atau hospital berdekatan untuk pemeriksaan lanjut, pertolongan serta rawatan.

Hapuskan stigma.

Cakna keadaan diri serta orang sekeliling.

Dan, dapatkan bantuan segera.

Bagi anda yang mengalami depresi, tidak mengapa jika anda sedih, marah atau mahu menyendiri buat sementara waktu. Jangan hukum diri sendiri. Kesakitan dan emosi anda wujud, anda berhak ‘merawatnya’.

Hidup ini sememangnya perit. Bertahan. Mati itu pasti dan kesakitan pasti terakhiri.

Sikit sahaja lagi. Usah tertanya-tanya bila kita akan mati kerana boleh jadi esok atau lusa, kita sudah dijemput Ilahi. Yang penting fokus pada persediaan supaya kita pergi tanpa ada yang perlu kita kesali.

Bagi orang sekeliling, seperti mana kita kasihan melihat mereka yang terlantar kerana sakit fizikal, begitu jugalah empati yang patut kita beri kepada mereka yang mengalami tekanan mental. Sebagaimana pesakit fizikal tidak mampu berfungsi secara normal, begitu juga mereka yang menahan kesakitan psikologikal.

Jika kita tak mampu bantu, diam adalah lebih baik.

Sebagaimana imuniti seseorang terhadap penyakit berbeza, begitu juga daya ketahanan mental seseorang. Jika anda boleh hadapi sesuatu situasi dengan mudah, tak bermakna ia mudah untuk orang lain kerana setiap orang dibesarkan dalam lingkungan dan pengalaman hidup yang berbeza. Setiap orang ujiannya berbeza.

Sumber: Nur Atikah Razali

Sumber : SiakapKeli