VAIO SX12 Dilancarkan Dengan Jumlah Port Sambungan Melebihi MacBook

VAIO tidak lagi di bawah Sony dan kini mereka bergerak secara solo dalam menawarkan produk komputer riba. Melalui perkembangan terbaru mereka, VAIO kini telah hadir dengan SX12, yang merupakan model komputer riba kompak dengan penawaran saiz skrin sebesar 12.5-inci.

Komputer riba ini membawakan binaan ikonik VAIO, dengan menyajikan rekaan ringkas bersama tampilan logo “VAIO” pada bahagian penutup. Ia direka untuk kegunaan mudah-alih dengan menyajikan rekaan nipis bersama berat hanya 888 gram. Dari segi spesifikasinya, ia dijana dengan pilihan cip Intel Core i5 dan i7 generasi ke-8, dan mempunyai pilihan LTE untuk kemudahan penyambungan internet secara bergerak.

Walaupun hadir dalam rekaan kompak, komputer riba ini masih menyajikan jumlah port sambungan yang menyeluruh. Ia membawakan 3x USB-A, 1x USB-C, 1x HDMI, dan 1x slot SD. Ia turut hadir dengan 1x bicu audio 3.5mm, 1x ethernet, dan 1x VGA untuk penyambungan paparan dan projektor.

VAIO SX12 telah dijual di Jepun bermula minggu ini dengan harga bermula 119,800 yen (~RM4,561) hingga 216,800 yen (~RM8,255) berdasarkan pilihan cip pemprosesan, storan, dan warna. Walau bagaimanapun, VAIO tidak mengumumkan sebarang maklumat mengenai jualannya untuk pasaran antarabangsa.

Sumber : Amanz