Amazon Bermula Sebagai Kedai Buku Online

Semuanya bermula pada 5 Julai 1994, 25 tahun lalu Amazon memulakan perjalanan perniagaannya dengan menjadi platform penjualan buku atas talian.

“APABILA KAMI MULA MENJUAL BUKU EMPAT TAHUN YANG LALU, SEMUA ORANG BERKATA, ‘LIHAT, ANDA HANYA ORANG KOMPUTER DAN ANDA TIDAK TAHU APA-APA TENTANG PENJUALAN BUKU.’ DAN ITU BENAR,” UJAR JEFF BEZOS PADA TAHUN 1999, 4 TAHUN SETELAH AMAZON BEROPERASI.

Tahun lalu, Amazon telah menjadi syarikat kedua di dunia bernilai USD 1 trilion selepas Apple. Manakala jualannya pada tahun ini dijangkakan bakal mencecah USD275 bilion (bersamaan RM1.13 trilion) dan USD320 bilion menjelang 2020.

Bagaimana semua ini bermula?

Semenjak awal lagi, Amazon berjaya menjadi syarikat buku yang terbaik melalui penjualan pelbagai variasi buku berbanding syarikat penjualan buku yang lain. Dan apabila e-book mula diperkenalkan dalam pasaran, Amazon bijak menggarap peluang dan menjadi pemain utama dalam penjualan ebook.

Jualan bukunya kini mewakili 42% daripada jualan buku di Amerika Syarikat (AS) dan Amazon turut memegang 89% daripada penjualan ebook pada 2018.

Sekitar lewat 90-an, Amazon mempelbagaikan produk dalam platformnya bermula dengan muzik dan DVD. Kemudian mereka menambah pula barang eletronik, alatan permainan serta alatan dapur.

Kemudian pada tahun 2000, Amazon tampil dengan Amazon Marketplace yang mana telah membuka peluang kepada peniaga-peniaga kecil menjual produk-produk mereka.

Bagi menambah baik servisnya, Amazon memperkenalkan Amazon Prime, satu bentuk keahlian berbayar yang menawarkan penghantaran yang lebih pantas bagi barangan tertentu. Tindakan ini telah berjaya meningkatkan jumlah jualan Amazon.

Image result for jeff bezos
Kredit: CNBC

Setakat hari ini, lebih daripada 100 juta orang daripada seluruh dunia adalah ahli Amazon Prime. Amazon Prime kini turut menawarkan perkhidmatan video dan muzik atas talian. Amazon Prime juga mempunyai bilangan keahlian berbayar (paid membership) kedua tertinggi selepas Netflix.

Setelah lebih 10 tahun, barulah Amazon mengeluarkan produk pertamanya iaitu Kindle. Melihat kepada populariti e-book sekitar 2007, Bezos memperkenalkan Kindle kepada pengguna, sebuah alat eletronik khas buat pembaca-pembaca e-book.

Kindle ini merupakan titik permulaan kepada pengembangan jabatan peranti pintar Amazon yang kini bersaing setaraf Google dan Apple. Amazon adalah syarikat pertama yang melancarkan peranti pintar seperti Echo speaker yang dilengkapi dengan kecerdasan buatan (artificial intelligence). Kini Amazon penjual peranti pintar ketiga terbesar di AS.

Tidak dinafikan lagi Amazon adalah juara dalam platform penjualan atas talian di AS dan dunia. Namun kebangkitan China beberapa tahun kebekalang telah mencabar kedudukan syarikat-syarikat gergasi AS. Pesaing terdekatnya adalah Alibaba milik Jack Ma. Mampukah Amazon terus berkembang dan bersaing di peringkat global pada masa akan datang?

The post Amazon Bermula Sebagai Kedai Buku Online appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots