Kaca Mata AR Apple Akan Membantu Pengguna Cacat Penglihatan Untuk Melihat Dengan Lebih Jelas

Apple dijangkakan akan hadir dengan kaca mata AR tersendiri pada tahun 2020. Mereka dilihat agak serius dengan industri realiti terimbuh, sehinggakan telah mengambil alih syarikat Akonia Holographics pada tahun lepas.

Terkini, Apple telah dianugerahkan dengan paten yang berjudul “Augmented Reality Device to Warp Images“. Paten ini dilihat berkemungkinan besar akan diimplementasikan dalam kaca mata AR mereka. Paten ini adalah untuk membantu pengguna yang cacat penglihatan untuk melihat dengan lebih jelas. Misalnya, mereka yang tidak dapat melihat dengan jelas adalah kerana medan penglihatan mereka terhad.

Dengan kamera atau sensor pengimejan kaca mata AR Apple, ia akan mengimbas kawasan penglihatan pengguna dan imej yang diimbas akan meleding untuk membantu pengguna yang cacat penglihatan melihat pada kawasan yang mereka tidak dapat lihat. Visual imej di bawah akan membantu anda membayangkan bagaimana ia berfungsi.

Tetapi seperti biasa, mana-mana syarikat yang memfailkan paten – tidak semestinya ia akan menjadi realiti. Kebiasaannya ia lebih kepada melindungi idea bernas mereka sahaja. Tetapi jika kita ikuti berita-berita dan laporan berkaitan kaca mata AR dan Apple, tidak dinafikan ia mungkin adalah salah satu ciri.

Sumber : Amanz