Jika Anda Sinis Mengenai Cinta, Baca Tulisan Ini

Pernah merasa yang
anda sudah lesu untuk baca pasal percintaan? Kalau nampak sahaja tulisan atau
lagu tentang cinta anda terus berikan komentar sinis atau menyindir seolah-olah
perkara seperti cinta ini sesuatu yang tidak matang dan tak perlu sibukkan diri
dengannya. Tidak kisahlah sama ada pengisian video atau penulisan yang kita
kritik itu bernas atau tidak, kita tetap terus sahaja menjadi skeptical dan
sinis.

Jika anda pernah
merasa begitu, bermakna anda sudah terpalit dengan satu fenomena pemikiran ‘burnout
yang mana akal kita pada tahap ini sudah mula meremeh temehkan hal-hal ini
serta lesu untuk bercakap mengenai hal ini. Dahulu sebelum saya terjunkan diri
secara serius ke dalam ilmu perhubungan, saya juga adalah seorang yang
skeptikal sehinggalah satu ketika saya telah diuji dengan masalah perhubungan.

Mujurlah waktu itu
pula saya memang suka membaca bahan-bahan yang boleh memberikan pengetahuan dan
tips mengenai perhubungan, yang pada saya bacaan itu matang dan kritikal
sehinggakan memberikan saya satu bentuk ‘turning point’ dalam melihat
sudut terhadap isu perhubungan.

Mengapa Kita Letih
Dalam Hubungan

Pada tahun 1970,
seorang ahli psikologi dari Amerika bernama Herbert Freudenberger memberi
istilah ‘burnout’ untuk situasi dalam bidang kerjaya doktor dan
jururawat pada waktu tersebut. Staf yang berkerja dalam bidang perkhidmatan
awam selalu terkait dengan masalah kelesuan emosi dan fizikal disebabkan
beberapa faktor seperti tekanan kerja yang melampau sehingga kita buat kerja di
luar dari kemampuan diri.

Itulah asal usul
perkataan burnout tadi yang mana asalnya berkait dalam kerjaya sahaja
namun pada masa kini istilah itu disebar luaskan pada perhubungan juga. Seorang
penulis perhubungan yang bertauliah bernama Kira Asatryan dalam satu artikel
beliau bertajuk 5 Signs of Relationship Exhaustion dalam Psychology
Today turut menyenaraikan lima ciri-ciri seseorang itu lesu dalam perhubungan
cinta, seperti berikut:

  • Kita fikir temujanji itu kedengaran begitu teruk.

Jika diambil dari
sudut budaya Barat, saya boleh bersetuju jika kita berfikir demikian. Kerana
selalu temujanji itu dikaitkan dengan percintaan bebas tanpa arah pada
pernikahan. Tetapi dalam konteks budaya ketimuran, temujanji boleh kita
ubahsuai bercirikan budaya dan etika di sini. Orang yang skeptik dan letih akan
hubungan cinta tidak mahu bertemujanji atau pun berkenalan dahulu.

Mereka lebih gemar
terus nikah dan mahu berkenalan dalam fasa selepas nikah. Pada saya itu
tidaklah salah seratus peratus walaupun saya percaya kepada konsep berkenalan
dahulu, kerana jika seseorang mahu lakukan cara tersebut dia perlulah bercakap
atau berbincang hal-hal serius sebelum nikah yang mana boleh membantu dia
memilih insan yang betul dan mengelakkan menyesal di kemudian hari.

  • Kita stress dalam mencari pasangan hidup.

Sebelum ini sewaktu
kita masih solo, kita akan rasa sedikit teruja atau seronok apabila berjumpa
dengan insan yang berpotensi menjadi pasangan kita. Tetapi orang yang lesu
terhadap cinta ini berasa seolah-olah kosong. Tidak rasa tertarik pada orang
yang berlainan jantina dan kena dengan citarasanya. Insan ini hanya memikirkan
soal kerja dan soal rutin sahaja tanpa ada memikirkan ingin cari jodoh. Apabila
mendapat cadangan daripada keluarga atau rakan-rakan untuk berkenalan dengan
orang yang dicadangkan itu, insan yang lesu itu hanya mengiyakan sahaja tanpa
ada tindakan susulan. Jadi pada saya jika anda adalah begini, usah memasuki
mana-mana hubungan jika anda masih belum pulih kerana perkara itu akan merosakkan
hubungan tersebut dan menyakitkan orang lain.

  • Emosi kita sangat meletihkan selepas gagal.

Apabila melalui fasa
kegagalan bercinta, kita akan rasa tenaga emosi menjadi berkurangan. Antara
tanda-tanya adalah kurangnya bercakap, letih apabila bertemu ramai orang,
reaksi terhadap sesuatu yang lucu berkurangan dan malas hendak bersosial dengan
orang lain. Lebih gemar untuk menyendiri dan meluahkan perasaan pada
orang-orang yang dipercayai sahaja. Dala fasa ini sebaiknya kita bermuhasabah
diri dan semakin dekatkan diri kepada Allah. Banyakkan melakukan solat malam,
sentiasa berdoa dan laksanakan amal kebaikan setiap hari. Kerana dengan meminta
pertolongan-Nya, barulah hati kita menjadi tenteram dan pulih sihat dengan
normal.

  • Kita selalu tergambarkan ingatan perkara buruk waktu dahulu.

Ada sebuah kata-kata
yang berbunyi begini, “People will forget what you said, people will forget
what you did, but people will never forget how you made them feel
”.
Begitulah fitrah hidup ini, kita akan teringatkan perkara yang memberikan kesan
pada keadaan emosi kita. Sukar untuk kita ingat pada kata-kata seseorang
melainkan perkataan tersebut memberikan kita satu perasaan yang berbekas dalam
hati. Individu yang letih akan hubungan hanya lebih mengingati kejadian buruk
bagaimana dirinya dilayan sebelum ini. Sebab itulah perlunya mengambil masa
untuk pulih kerana kita merasakan trauma dan takut untuk perkara itu berulang
kembali dalam hubungan akan datang.

Selain daripada itu,
seorang penulis psikologi perhubungan yang bernama Stephen Hussey dalam laman
sesawangnya GetTheGuy turut mengemukakan dua tapak asas mengapa seseorang itu
boleh burnout dalam perhubungan iaitu tidak realistik dalam mengimpikan
pasangan dan kita sentiasa habiskan masa dengan perkara yang salah apabila
kita berada dalam satu hubungan. Jadi kebanyakan dari mereka ini
sebenarnya begitu memaksa diri untuk dapatkan seseorang dengan cara yang salah,
malah hal ini sering terjadi bermula dari gaya berfikir (mindset) yang
salah juga.

Merawat Hati dan
Meraih Jiwa Yang Tenteram

يَا
أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ. ارْجِعِي
إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَّرْضِيَّةً

Hai jiwa yang
tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau redha lagi diredhai.

(Surah al-Fajr: 27-28)

Ayat di atas
menunjukkan betapa untuk meraih jiwa yang tenang itu ialah dengan mendakap
keredhaan pada ketentuan Allah. Begitulah juga bagaimana untuk kita turut
diredhai oleh Tuhan yang Maha Esa. Redha itu kita perlu sambut dari Allah,
bukannya mencari-cari pada orang lain. Punca berlakunya kekecewaan yang
mendalam adalah disebabkan kita percaya apabila mencari redha manusia, hati
kita akan tenang.

Hati kita akan
gembira dan bahagia apabila kita usaha untuk cari redha dari sisi manusia,
padahal itu salah. Orang Barat menyebutnya sebagai ‘validation’. Kita
begitu obses supaya orang lain ‘validate’ diri kita, sepertimana di dalam
sebuah filem bertajuk Black Mirror: Nosedive apabila watak utamanya, Lacie,
gigih hidup di dalam masyarakat yang menjadikan ‘validation’ itu sebagai
satu cara hidup. Pada akhirnya masyarakat hanya memandang mereka yang mempunyai
validasi yang tinggi sahaja berbanding orang yang kurang validasi. Manakala
cara untuk mendapatkan validasi itu pula adalah dengan cara yang keji dan jijik
serta perlu berpura-pura sepanjang hidup kita.

مَنِ
التَمَسَ رِضَاءَ اللَّهِ بِسَخَطِ النَّاسِ كَفَاهُ اللَّهُ مُؤْنَةَ النَّاسِ،
وَمَنِ التَمَسَ رِضَاءَ النَّاسِ بِسَخَطِ اللَّهِ وَكَلَهُ اللَّهُ إِلَى
النَّاسِ

Barangsiapa yang
mencari redha Allah sekalipun memperolehi kemurkaan manusia, maka Allah akan
cukupkan kebergantungannya terhadap manusia. Barangsiapa yang mencari redha
manusia sekalipun memperolehi kemurkaan Allah, maka Allah akan serahkannya
kepada manusia
.”

(Riwayat Tirmizi)

Jika kita tergolong
dalam mereka yang memandang sinis terhadap hubungan, lakukanlah refleksi diri.
Ramai orang yang kecewa dengan cinta menjadi ‘bitter’ dan tidak mampu
untuk bersikap matang dalam perhubungan baru. Ada yang terus sahaja ingin
kahwin dan hidup bersama walhal langsung tidak kenal perwatakan dan ‘worldview
pasangannya itu, cuma berharap akan kenal selepas nikah nanti.

Padahal apabila kita
amati kisah Rasulullah bersama Khadijah, mereka berdua telah kenal lama dan
faham antara satu sama lain. Itulah sebabnya Aisyah begitu cemburu dengan
Khadijah meskipun Khadijah telah lama meninggal dunia tetapi Nabi tetap
merinduinya. Sebabnya adalah persefahaman hasil daripada perkenalan yang ikhlas
dan Khadijah sangat menyokong Rasulullah sewaktu permulaan dakwah menerima
wahyu yang pertama di saat tiada siapa yang beriman pada Allah.

كَانَ
النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا ذَكَرَ خَدِيجَةَ أَثْنَى
عَلَيْهَا فَأَحْسَنَ الثَّنَاءَ قَالَتْ فَغِرْتُ يَوْمًا فَقُلْتُ مَا أَكْثَرَ
مَا تَذْكُرُهَا حَمْرَاءَ الشِّدْقِ قَدْ أَبْدَلَكَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بِهَا
خَيْرًا مِنْهَا قَالَ مَا أَبْدَلَنِي اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ خَيْرًا مِنْهَا
قَدْ آمَنَتْ بِي إِذْ كَفَرَ بِي النَّاسُ وَصَدَّقَتْنِي إِذْ كَذَّبَنِي النَّاسُ
وَوَاسَتْنِي بِمَالِهَا إِذْ حَرَمَنِي النَّاسُ وَرَزَقَنِي اللَّهُ عَزَّ
وَجَلَّ وَلَدَهَا إِذْ حَرَمَنِي أَوْلَادَ النِّسَاءِ

Ketika
Rasulullah menyebut-nyebut kebaikan Khadijah, timbullah kecemburuan di hati
Aisyah. Aisyah menceritakan, “Apabila Nabi Sallallahu ’alaihiwasallam mengingat
Khadijah, beliau selalu memujinya dengan pujian yang bagus. Maka pada suatu
hari saya merasa cemburu hingga saya berkata kepada beliau; ‘Alangkah sering
engkau mengingat wanita yang hujung bibirnya telah merah, padahal Allah telah
menggantikan untuk engkau yang lebih baik darinya. Serta merta Rasulullah
bersabda: “Allah AzzaWaJalla tidak pernah mengganti untukku yang lebih baik
darinya, dia adalah wanita yang beriman kepadaku di saat manusia kafir
kepadaku, dan dia membenarkanku di saat manusia mendustakan diriku, dan dia
juga menopangku dengan hartanya di saat manusia menutup diri mereka dariku, dan
Allah AzzaWaJalla telah mengurniakan anak kepadaku dengannya ketika Allah tidak
mengurniakan anak kepadaku dengan isteri-isteri yang lain
.”

(Riwayat Ahmad)

Justeru itu, saya
percaya bahawa percintaan itu bermula dengan perkenalan. Dalam perkenalan
itulah kita ketahui perwatakan, kelemahan, kekuatan, sokongan dan berbagai lagi
sifat kemanusiaan seseorang yang terpulang pada kita sama ada kita boleh hidup
bersama atau pun tidak. Janganlah disebabkan baru dikecewakan oleh seseorang,
kita terus menyeksa diri kita sendiri dengan memaksa untuk berkahwin sekali
lalu tanpa benar kenal, atau pun dalam hal lain terus membuatkan diri kita
menjadi benci dan mual berkaitan perhubungan cinta. Seperti mana satu kata-kata
di dalam filem Equilibrium (2002), “without love my breath is just a clock
ticking
”. Cumanya kita mesti belajar bagaimana menyifatkan sesuatu itu
ialah cinta, atau sekadar permainan seseorang terhadap kita.

Muhammad Baha’uddin Hamizan
https://www.facebook.com/BahakDean

The post Jika Anda Sinis Mengenai Cinta, Baca Tulisan Ini appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots