Asal Usul Tumbuhan Paling Lalok

Ganja, tumbuhan
yang telah digunakan sejak 12 000 tahun lalu untuk tujuan perubatan dan
keagamaan, dipercayai berasal dari Dataran Tinggi Tibet sebagaimana yang
disebutkan di dalam sebuah jurnal yang disiarkan pada 14 Mei lalu.

Jurnal yang
bertajuk ‘Cannabis
in Asia: its center of origin and early cultivation, based on a synthesis of
subfossil pollen and archaeobotanical studies’

memperincikan tentang hasil kajian sekumpulan penyelidik dari Universiti
Vermont, diketuai oleh John McPartland. Menerusi kajian dan jurnal berkenaan,
mereka mengemukakan bukti bahawa tumbuhan ganja telah wujud sejak 28 juta tahun
yang lalu di Dataran Tinggi Tibet.

Sebelum ini,
para penyelidik hanya dapat mengetahui secara umum tentang asal-usul ganja dari
Asia Tengah tanpa dapat menyebutkan secara khusus lokasi tepatnya. Hal ini
kerana mereka kekurangan bahan ujikaji berupa fosil dedaunan ganja pada
batu-batuan di lokasi berkenaan.

Mengambil
pendekatan yang berbeza, McPartland dan pasukannya memanfaatkan penemuan fosil
debunga ganja untuk melakukan penyelidikan. Namun, kaedah ini juga mempunyai
kerumitan tersendiri. Sebelum ini, penilaian para pengkaji terhadap fosil
debunga di Asia mencampur-adukkan di antara debunga ganja (subspesis Cannabis)
dengan tumbuhan yang mirip dengannya, iaitu debunga hop (subspesis Humulus).

Untuk tujuan
penyelidikan tersebut, McPartland dan pasukannya perlu menjalankan sebanyak 155
ujian bagi memisah dan membezakan antara debunga Cannabis dan Humulus lalu
mengenal pasti lokasi kewujudan asal mereka di seluruh Asia. Hal ini bertujuan
untuk mendapatkan kepastian dari mana dan pada waktu bila ganja (Cannabis) mula
wujud.

Hasil kajian ini
menemukan bahawa ganja pertama kali tumbuh dan bercambah di bahagian timur laut
Dataran Tinggi Tibet, berhampiran Tasik Qinghai kira-kira 28 juta tahun yang
lalu. Tapak percambahan awal ganja ini berlokasi tidak terlalu jauh dengan Gua
Baishiya Karst, iaitu sebuah gua yang dipercayai pernah dihuni oleh komuniti
Denisovan, iaitu satu subspesis Homo Sapiens yang hidup kira-kira 160 000 tahun
yang lalu. Keadaan ini membuatkan para penyelidik berhipotesis bahawa Denisovan
berkemungkinan turut berperanan dalam proses percambahan pokok ganja.

Menurut sebuah
artikel yang pernah dikeluarkan oleh Live Science, ganja dipercayai tersebar ke
Eropah sekitar 6 juta tahun yang lalu dari Dataran Tinggi Tibet. Kemudian,
tumbuhan tersebut tiba di Cina pada 1.2 juta tahun dahulu. Merentas ribuan
tahun, ganja tersebar ke seluruh dunia. Misalnya, daripada Afrika ia mula memasuki
Amerika Selatan pada abad ke-19 lalu menembusi Amerika Syarikat pada awal kurun
ke-20 semasa berlakunya Revolusi Mexico pada tahun 1910-1911.

Setelah
bercambah dan tersebar selama 28 juta tahun dan dimanfaatkan oleh manusia
secara meluas selama hampir 30 000 tahun, ganja mula diharamkan di sekitar 29
buah negara menjelang tahun 1931. Kira-kira seabad kemudian, pengharaman ganja
ini sedikit demi sedikit mula dilonggarkan di beberapa buah negara, sebagaimana
yang disenaraikan di laman Thrillist.

Ternyata, ganja
bukan hanya berupaya membawa manusia terbang hingga ke bulan. Namun, ia juga
mampu membawa kita merenungi sejarah ribuan malah jutaan ribu tahun, merangkumi
pelbagai bangsa di dunia termasuklah subspesies manusia Denisovan.

Gambar menunjukkan bagaimana ganja tersebar ke seluruh dunia

RUJUKAN

Agata
Blaszczak-Boxe. (17 Oktober 2014). Marijuana’s History: How One Plant Spread
Through the World. Live Science.
https://www.livescience.com/48337-marijuana-history-how-cannabis-travelled-world.html

Ashley Cowie.
(22 Mei 2019). Research Traces Cannabis Plant Origins to the Tibetan Plateau 28
Million Years Ago. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-general/cannabis-plant-0011944

Clare Wilson. (1
Mei 2019). Major discovery suggests Denisovans lived in Tibet 160 000 years
ago. New Scientist.
https://www.newscientist.com/article/mg24232283-700-major-discovery-suggests-denisovans-lived-in-tibet-160000-years-ago/

Mindy
Weisberger. (20 Mei 2019). We May Finally Know Where the Cannabis Plant
Originated. Live Science.
https://www.livescience.com/65517-cannabis-asia-originated.html

The post Asal Usul Tumbuhan Paling Lalok appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots