Perang Dayak Desa, Kalimantan Barat 1945

JIKA
ada yang berkata kaum Dayak di Borneo khususnya di Kalimantan tidak pernah
melawan sewaktu pendudukan Jepun adalah sesuatu yang salah sama sekali.  Ini kerana di dalam sejarah Perang Dunia
Kedua berlangsung sememangnya ada kaum Dayak di Kalimantan yang bangun berjuang
untuk keadilan rakyat dan tanahair mereka. 

Perang Dayak Desa 1945 merupakan salah satu perang kaum dayak di Kalimantan
Barat melawan pentadbiran tentera Jepun di tanahair mereka.  Pada waktu itu secara mengkhusus perang dayak
ini bermula oleh satu kelompok kaum dayak yang dikenali sebagai Dayak
Desa.  Populasi mereka banyak tertumpu di
kawasan seperti wilayah kecamatan Tayan Hulu dan Tayan Hilir, Kabupaten
Sanggau.  Kaum Dayak desa amat terkenal
dengan seni kraftangan yang halus yang dinamakan Tenun Ikat. 

Jika
diikutkan perang dayak desa ini sebenarnya adalah rentetan sambungan kepada
satu perang yang dilaksanakan bagi melawan Kolonial Belanda lagi.  Pada waktu itu ianya dikenali sebagai Perang
Majang Desa yang mana menyaksikan Belanda diperangi seperti di kawasan Sintang
sehinggalah Belanda kalah kepada Jepun. 
Pada waktu itu dayak desa bangkit kerana tidak berpuashati dengan sistem
perlombongan yang diusahakan oleh Koloni Belanda yang dikatakan tidak adil dan
menjadikan dayak desa sebagai buruh tanpa bayaran yang setimpal.  Dan tatkala Jepun mengambilalih Kalimantan
sewaktu Perang Dunia Kedua, dayak desa turut menerima nasib yang sama bahkan
lebih kejam dan tiada perikemanusiaan. 

Pemerintahan
Jepun di Borneo yang dinamakan “Kita Boruneo” langsung tidak memberikan apa-apa
kebaikan kepada masyarakat tempatannya. Sewaktu di bumi Kalimantan, hal pertama
yang mereka lakukan adalah memastikan agar semua kawasan lombong dan hasil
kayu-kayan di bumi Kalimantan digodek dengan sehabis mungkin untuk sumber
ekonomi “Negara Matahari Terbit” itu.

Cerita
buruh paksa sentiasa mewarnai pendudukan Jepun di Asia Tenggara dan tidak
terkecuali di bumi Kalimantan apabila Jepun membawa masuk dua perusahaan Jepun
yang dinamakan Nomura bagi menguruskan hasil-hasil perlombongan manakala
Sumitomo untuk industri kayu-kayan.  Dan
kedua-dua perusahaan ini telah menggunakan sepenuhnya masyarakat tempatan yakni
dayak desa yang pada mulanya dijanjikan dengan pelbagai “keindahan” untuk
menarik mereka bekerja yang mana pada akhirnya menjadi satu igauan ngeri untuk
mereka. 

Tiada
upah malah dibuat seperti hamba abdi dan langsung tidak boleh pulang untuk
menemui keluarga mereka menjadikan kaum dayak desa yang bekerja dengan Nomura
dan Sumitomo bangun menuntut keadilan. 
Dek kerana kurang zat makanan dan air bersih menyebabkan ramai buruh
dari kalangan dayak desa yang meninggal dunia akibat sakit-sakit atau terlalu
keletihan. 

Akhirnya
derita buruh dayak desa di dua perusahaan Jepun ini pecah jua tatkala ada
beberapa orang pemuda dayak desa yang mampu melarikan diri walau seketat mana
kawalan tentera Jepun pada waktu itu. 
Dan merekalah yang menyampaikan berita kepayahan mereka kepada ketua
kampung mereka dan ini termasuklah cerita bagaimana seorang wanita Dayak Desa yang
dikatakan akan dikahwini secara paksa oleh penyelia berbangsa Jepun bernama
Osaki yang menyelia aktiviti menebang pokok di daerah Melilau.  

Wanita
dayak desa yang dimaksudkan itu bukanlah sembarangan individu sebaliknya anak
perempuan kepada seorang pemimpin dayak desa yang disegani bernama Pang
Linggan.  Mendengar cerita tersebut
membuatkan Pang Linggan marah sehingga beliau sendiri mendatangi kawasan dimana
Osaki berada.  Namun Osaki yang tidak
menghormati adat dan istiadat penduduk tempatan dengan sewenang-wenangnya
memperkotak katikkan Pang Linggan dan mengancam untuk memenggal kepada Pang
Linggan jika menentang kehendak beliau. 

Kedatangan
Pang Linggan yang hendak menyelamatkan puterinya daripada menjadi mangsa pemuas
nafsu Jepun akhirnya membawa kepada satu musyawarah antara pemimpin-pemimpin
Dayak Desa di seluruh Sanggau.  Pada masa
itulah petanda peperangan besar akan berlaku apabila mereka mula menghantar
isyarat “mangkuk merah” kepada seluruh masyarakat Dayak di Kalimantan
Barat.  Tujuannya untuk mencari sampai ke
lubang cacing Osaki dan pihak Jepun yang kurang ajar dengan masyakat Dayak
Desa. 

Pihak
Jepun di kedua-dua perusahaan pula dapat menghidu akan perancangan pemimpin
Dayak Desa kerana ada diantara buruh Dayak Desa ini yang dikatakan menjadi
“mata-mata” kepada Jepun selepas mereka diangkat menjadi ketua buruh. Mereka
inilah yang menjadi gunting di dalam lipatan bangsa dayak desa itu
sendiri.  Dek kerana itulah awal-awal
lagi sebelum perang dayak desa yang lebih besar tercetus, pihak Jepun sudahpun
bersiap siaga dengan tentera mereka. 

Dayak
desa dengan dipimpin oleh Pang Suma atau nama sebenarnya Bendera Dulung telah
menggerakkan tentera dayak desa sendiri yang dikenali sebagai “Angkatan Majang
Desa” telah bergerak secara diam-diam ke kawasan Melilau pada bulan Februari
1945.  Langkah mereka yang teratur dan
senyap langsung tidak dapat dihidu oleh tentera Jepun yang berkawal dan
akhirnya kepala Osaki berpisah dari badan akibat dilibas oleh parang nyabur
kepunyaan Pang Suma.  Keesokannya
baharulah pihak Jepun mendapat berita bahawa ada seorang daripada bangsa mereka
yang sudahpun terkorban oleh serangan dayak desa. 

Tidak
terhenti dengan matinya Osaki, Pang Suma bersama Angkatan Majang Desa telah
mula mengatur serangan yang seterusnya. 
Pada kali ini mereka bergerak ke Niciran di Pulau Jambu, Kecamatan
Tayan.  Kali ini mangsa parang nyabur
Pang Suma adalah seorang penyelia bernama Soet Soegisang. Seperti mana nasib
yang menimpa ke atas Osaki maka begitulah Soet kerana kepalanya turut dipenggal
oleh seorang dayak desa.

Dua
korban dari pihak Jepun bertali arus menyebabkan pentadbiran Jepun yang
beribupejabat di Pontianak semakin risau dengan kebangkitan Angkatan Majang
Desa dibawah Pang Suma.  Malah dek kerana
isyarat “mangkuk merah” itu menyebabkan tentera Pang Suma semakin ramai kerana
kaum dayak dari Ketapang sehingga ke Sekadau turut serta menyebabkan mahu tidak
mahu Jepun menghantar pasukan komando terlatih mereka dari Pontianak yang
dipimpin oleh Kaisu Nagatani. 

Pasukan komando dibawah Kaisu Nagatani diceritakan berjaya memasuki Melilau dan
bertahan di sebuah bangunan.  Namun
perancangan yang baik ditambahlagi adanya kerjasama antara Pang Suma dengan
Raden Iting yakni pewaris Kerajaan Melilau yang ditidakkan haknya untuk memerintah
oleh Jepun menjadikan Angkatan Majang Desa semakin kuat.  Dengan kearifan penduduk tempatan Melilau
sendiri akhirnya pasukan komando Jepun turut diperangi hanya dengan
senjata-senjata tradisional masyarakat Dayak. 
Malah di pertempuran itu juga menyaksikan Kaisu Nagatani sendiri,
kepalanya bercerai dari badan oleh parang Nyabur si Pang Suma sewaktu
perlawanan satu lawan satu. 

Mendengar
pasukan komando mereka diperangi menyaksikan Jepun menghantar kumpulan tentera
yang ramai memasuki Melilau.  Jepun berjaya
menguasai Melilau semula pada akhir Jun 1945. 
Pang Suma dan tentera dayak tidak pernah membiarkan Jepun menguasai bumi
mereka dan berlaku lagi satu pertempuran pada 17 Julai 1945.  Namun sayangnya kekuatan Jepun sukar untuk
dikalahkan pada kali ini kerana jumlah tentera Jepun serta senjata-senjata yang
mereka gunakan. 

Kepercayaan
masyarakat Dayak yang sering didominasi oleh firasat sewaktu mimpi menyelaputi
dunia perang Pang Suma apabila dikatakan pada malam sebelum beliau dan angkatan
Majang Desa menyerbu Jepun di dalam mimpi beliau telah diberikan isyarat yakni
bayangan parang nyaburnya telah patah. 
Dek kerana itulah Pang Suma sendiri dikatakan dengan mudah ditembak oleh
peluru tanpa mata tentera Jepun yang mengena pada bahagian pahanya. 

Biar
ramai angkatan Majang Desa yang tewas, Pang Suma dengan saki baki yang
terselamat cuba mengundurkan diri seketika bagi mengumpul setiap tenaga yang
ada untuk melawan kembali Jepun.  Namun
saat di dalam kecederaan yang serius itulah beliau dikejar oleh sekumpulan
tentera Jepun yang mana akhirnya Pang Suma sendiri terkena libasan parang
samurai tentera Jepun.  Beliau gugur
sebagai pahlawan dayak di Kalimantan di atas satu jambatan tidak jauh dari
dermaga Melilau. 

Gugurnya
Pang Suma bersama beberapa tokoh kepimpinan Dayak Desa yang lain tidak pernah
menghentikan semangat juang dayak di bumi Kalimantan.  Ada beberapa siri perang turut berlaku
selepas itu antara masyarakat dayak mahupun melayu di Kalimantan.  Antaranya perang yang dihasilkan dari
musyawarah Agustinus Timbang di Kapuas dan Sanggau mewarnai cerita perang
masyarakat tempatan dengan Jepun. 

-HB-

#KamekSayangSarawakBah!

RUJUKAN:

  1.  Sejarah Revolusi Kemerdekaan (1945-1949) Daerah Kalimantan Barat oleh Ahok, Pasifikus, Ismail, sLAMET, Tjitrodarmono Wijoso (1992) -PDF
  2. Filosofi Perang Dayak oleh Anton Surya. https://www.kompasiana.com/suryakelana/550e83eea33311b82dba830d/filosofi-perang-dayak
  3. https://daerah.sindonews.com/read/1167089/29/perang-dayak-desa-dan-tewasnya-perwira-senior-jepang-1483099307
  4. https://pinterpolitik.com/pang-suma-pejuang-dari-dayak/
  5. https://www.boombastis.com/pang-suma/87874

The post Perang Dayak Desa, Kalimantan Barat 1945 appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots