Kajian Mendakwa Ada Dua Lohong Hitam 800 Juta Ganda Lagi Besar Dari Matahari Akan Bertembung

Satu kajian terbaru mendedahkan bahawa terdapat dua lohong yang bersaiz 800 juta kali ganda daripada matahari. Kedua-duanya dikatakan akan bertembung sekitar 2.5 bilion tahun cahaya jaraknya dari bumi.

Lohong Hitam (Gambar: New Atlas)

Seperti yang diketahui, lohong hitam atau dikenali juga sebagai lubang gelap adalah kawasan (ruang-waktu) yang dipenuhi jisim dengan medan graviti yang begitu kuat sehinggakan tidak ada zarah atau radiasi elektromagnetik seperti cahaya mampu ‘terlepas’ daripadanya.

Perlu diingatkan bahawa di alam semesta, lohong hitam merupakan salah satu entiti yang paling kompleks. Malah pihak yang mengkajinya juga hanya mampu mengambil gambar (lohong hitam) sahaja dan banyak persoalan tentangnya yang masih belum terjawab.

Pertanyaan seperti, apa yang akan terjadi sekiranya bumi terperangkap di dalam lohong hitam? Apa yang bakal terjadi kepada manusia dan makhluk di dalamnya? Tiada siapa yang tahu. Apa yang pasti, terdapat beratus-ratus lohong hitam di angkasa yang mampu membawa bencana kepada kita.

Gambar: Digital Journal

Oleh kerana jarak perlanggaran yang dikatakan agak jauh dari bumi, ahli astronomi perlu mengambil masa yang lama untuk mengesan gelombang kosmik yang dihasilkan oleh dua lubang hitam gergasi itu.

Malah gelombang graviti yang dipancarkan oleh kedua-dua lubang hitam supermasif ini tidak akan sampai ke bumi selama berbilion tahun, walaupun ia bergerak pada kelajuan cahaya. Walau bagaimanapun, perlanggaran ini akan membantu ahli astronomi dalam kajian mengenai lohong hitam.

Baru-baru ini, satu kajian lagi mendedahkan bahawa Milky Way dan Andromeda, dua galaksi terbesar, akan berlanggar sesama sendiri dalam tempoh empat bilion tahun. Menurut pakar, perlanggaran galaksi ini akan mencipta fenomena dan hanya satu daripada entiti ruang ini akan ‘menang’ manakala yang lain akan lenyap.

Sumber: News Nation

Sumber : SiakapKeli