Maksimakan Sambungan Internet Anda Dengan Penghala WiFi Synology MR2200AC

Pernahkah anda menghadapi masalah dimana liputan penghala WiFi yang digunakan tidak meliputi seluruh rumah ataupun pejabat anda, ataupun menghadapi isu sambungan internet tersekat-sekat di beberapa kawasan “zon mati”?

Semua penghala WiFi mempunyai radius liputannya sendiri, dan bergantung kepada model yang digunakan dan juga kawasan yang ingin diliputi, ada beberapa cara yang boleh digunakan untuk membesarkan radius kawasan liputan penghala tersebut, samada dengan menggunakan pelanjut sambungan (range extender) seperti palam dinding yang menggunakan sambungan elektrik rumah ataupun pejabat untuk melanjutkan sambungan internet tersebut.

Synology, sebuah jenama yang terkenal untuk peranti-peranti storan NAS mereka baru-baru ini telah hadir dengan peranti penghala Synology Mesh Router MR2200ac yang mempunyai sokongan untuk teknologi lingkaran WiFi mesh yang menjanjikan sambungan yang lebih luas dan stabil.

Pemasangan Penghala Yang Mudah

Penghala WiFi Synology Mesh Router MR2200ac ini hadir dengan sokongan untuk frekuensi 2.4GHz yang menyokong sambungan internet sepantas 400Mbps, dan juga frekuensi 5GHz yang menyokong sambungan sepantas 867Mbps.

Bergantung kepada kelajuan pelan internet anda, penghala MR2200ac ini mampu menyokong sebahagian besar daripada pelan-pelan tersebut, tidak kira anda menggunakan khidmat ISP TM, Time, Maxis dan sebagainya.

Pemasangan penghala kadang-kala boleh dikatakan suatu proses yang agak rumit, dan Synology peka akan isu ini. Dengan penghala MR2200ac, Synology memperkenalkan aplikasi DS router yang memudahkan pengguna untuk memasang penghala ini tanpa perlu langkah-langkah yang rumit.

Melalui aplikasi ini, Synology turut membantu pengguna langkah demi langkah sepanjang proses pemasangan penghala ini, malah akan memberitahu pengguna jika terdapat sebarang masalah sewaktu proses tersebut.

Dalam pada itu, pengguna juga boleh memilih untuk menggunakan menu web terbina seperti biasa, dengan menyambungkan komputer desktop ataupun komputer riba kepada penghala MR2200ac menggunakan kabel Ethernet dan melog masuk ke alamat http://router.synology.com.

Lingkaran WiFi mesh – Tidak Perlu Risau Mengenai Zon Mati

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, penghala WiFi Synology MR2200ac ini hadir dengan sokongan untuk lingkaran WiFi mesh, bermakna bahawa penghala ini boleh disambungkan kepada penghala MR2200ac yang lain untuk melanjutkan lagi lingkaran WiFi pengguna ke radius lingkungan yang lebih besar.

Sama seperti pemasangan awal penghala ini, pengguna boleh menggunakan aplikasi DS router yang sama untuk menyambungkan penghala MR2200ac yang pertama kepada penghala-penghala kedua, ketiga dan seterusnya, bergantung kepada saiz kawasan yang ingin diperluaskan.

Synology menyarankan para pengguna untuk memasang penghala-penghala tambahan ini dikawasan dimana ia masih dapat disambungkan kepada penghala pertama, dan menggunakan aplikasi DS router tersebut, pengguna akan boleh melanjutkan sambungan asal tersebut ke radius yang lebih luas.

Pengguna kemudiannya boleh menggunakan perisian Synology WiFi Connect untuk mengawal sambungan Internet didalam rumah ataupun pejabat, termasuklah sambungan penghala dan juga peranti-peranti yang disambungkan kepadanya. Melalui perisian tersebut, pengguna ataupun penyelia lingkaran juga boleh mengemaskini penghala dengan cepat dan mudah.

Ciri Keselamatan Yang Menyeluruh

Kebanyakan penghala-penghala WiFi di luar sana masih lagi menggunakan ciri sekuriti yang lama seperti WPA-2 dan sebagainya. Dengan Synology MR2200ac, ia merupakan diantara penghala-penghala pertama yang menggunakan ciri sekuriti WPA-3 yang terbaru yang berkali ganda lebih selamat berbanding dengan versi sebelum ini, yang tidak pernah dikemaskini selama 14 tahun.

Untuk mengekalkan keserasian dengan peranti-peranti lama, pengguna juga diberi pilihan untuk menggunakan ciri keselamatan gabungan WPA-2 dan WPA-3 untuk peranti-peranti yang menyokong WPA-2 sahaja, dan juga WiFi Enhanced Open (WEO) jika anda menggunakan penghala ini untuk sambungan Internet terbuka yang tidak memerlukan kata laluan.

Bercakap tentang sambungan Internet terbuka, pengguna juga boleh mengubahsuai jenis lingkaran yang diperlukan oleh mereka pada satu-satu masa. Lingkaran WiFi tanpa kata-laluan boleh dicipta dengan mudah untuk pelawat-pelawat sementara tanpa perlu memberi mereka kata laluan untuk sambungan WiFi peribadi anda.

Bagi ibu-bapa dengan anak-anak muda, mereka juga boleh mengawal masa dan waktu penggunaan anak-anak tersebut dengan kawalan ibu-bapa yang terbina didalam penghala MR2200ac ini. Dengan ciri Safe Access, ibu-bapa bukan sahaja dapat mengawal waktu anak-anak mereka menggunakan Internet, mereka juga dapat melihat berapa lama mereka menggunakannya, dan juga laman-laman web yang dilawati.

Perisian tersebut juga boleh memperlihatkan laman-laman web yang berpotensi laman web merbahaya, dan menyekat akses kepada laman-laman web yang diingini. Bukan itu sahaja, ibu-bapa juga boleh mencipta profil khusus untuk anak-anak untuk pemantauan yang lebih mendalam, dan setiap peranti hanya boleh mengakses internet melalui profil-profil yang tertentu.

Penghala Semua Dalam Satu

Penghala Synology MR2200ac ini ialah sebuah peranti lingkaran WiFi yang hadir dengan pelbagai ciri-ciri yang membuatkannya pilihan terbaik untuk rumah dan pejabat yang hadir dalam pelbagai saiz. Pemasangan pertama menggunakan aplikasi DS router yang membantu pengguna di sepanjang proses pemasangan membuatkannya suatu yang sangat mudah, walaupun untuk pengguna-pengguna baru.

Sokongan untuk ciri lingkaran mesh menggunakan dua atau lebih penghala yang sama memastikan setiap ceruk rumah ataupun pejabat akan sentiasa berada didalam lingkungan sambungan WiFi, manakala ciri-ciri keselamatan yang terbina didalamnya memastikan bahawa semua peranti-peranti yang disambungkan kepada penghala ini adalah selamat.

Keluarga dengan anak-anak kecil yang baru sahaja mula menggunakan Internet juga boleh melayarinya dengan selamat tanpa perlu risau akan melayari laman-laman web yang berbahaya untuk mereka.

Dalam pada itu, penghala ini juga menyokong semua pembekal-pembekal perkhidmatan Internet tempatan, jadi anda tidak perlu risau mengenai pembekal internet anda tidak menyokong penghala ini.

Penafian: Advertorial Daripada Synology

Sumber : Amanz