Ini Hak-Hak Anda Sekiranya Ditangkap Polis, Dikongsikan Oleh PDRM

Sudah menjadi tugas pihak polis untuk menjaga keselamatan negara walau apa jua masalah yang melanda. Ia termasuklah membuat penahanan terhadap sesiapa sahaja yang disyaki melakukan jenayah.

Akan tetapi, ia tidak bermakna mereka yang ditahan pihak berkuasa tidak mempunyai sebarang hak untuk mempertahankan diri mereka, terutamanya bagi mereka yang percaya mereka tidak melakukan sebarang kesalahan.

Oleh itu, Polis Diraja Malaysia telah berkongsikan satu infografik mengenai hak orang kena tangkap berdasarkan Seksyen 28(A) Akta 593 Kanun Prosedur Jenayah di akaun media sosial mereka.

Antara hak yang perlu diketahui oleh individu yang ditangkap ialah pihak polis perlu memberitahu sebab penangkapannya sekiranya penahanan dibuat tanpa sebarang waran.

Selain itu, orang yang ditangkap perlu diberitahu oleh pegawai polis mengenai haknya untuk berkomunikasi dengan saudara mara atau sahabat untuk memaklumkan kedudukannya serta kebenaran untuk berkomunikasi atau berunding dengan pengamal undang-undang pilihannya.

Bagaimanapun, pihak polis(dengan kebenaran pegawai berpangkat tidak rendah daripada Timbalan Penguasa Polis) juga boleh menghalang atau menidakkan beberapa hak orang ditangkap ini atas alasan yang sangat munasabah, seperti berikut:

  • Sekiranya ia boleh mengakibatkan rakan jenayah orang yang ditangkap mengambil langkah untuk menghindari dari diberkas; atau
  • Penyembunyian, pemalsuan atau kemusnahan keterangan atau menakuti saksi; atau
  • Setelah mengambil kira keselamatan orang lain, penyoalan atau rakaman mana-mana penyataan adalah penting dan tidak boleh ditangguh.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut dan lengkap mengenai Seksyen 28(A) Akta 593 Kanun Prosedur Jenayah, Hak Orang Ditangkap melalui infografik di bawah:

Foto: FB Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police )

Sumber: FB Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police )

Sumber : SiakapKeli