Tertanya-Tanya Kenapa Ada ‘Bola’ Pada Wayar Pencawang, Rupanya Ini Fungsinya

Setiap sesuatu yang dicipta mempunyai tujuannya sendiri. Bagi anda yang suka memerhatikan pemandangan di luar ketika dalam perjalanan jauh, mungkin pernah tertanya-tanya fungsi ‘bola’ pada wayar pencawang elektrik sepanjang jalan.

Kenapa ya ‘bola’ itu dipasang pada wayar tersebut? Ini jawapannya.

Menurut seorang bekas jurutera elektrik yang menjawab persoalan ini di laman Quora, Paul Montgomery berkata, bebola itu bertujuan untuk menjadi penanda keselamatan paras wayar kepada pesawat, belon udara panas dan penerjun udara.

Pesawat udara seperti helikopter biasanya akan terbang lebih rendah di lokasi gunung dan lembah, tasik, sungai, serta kawasan berhampiran dengan lapangan terbang atau lokasi mendarat. Oleh itu, penanda ini diperlukan bagi memberi panduan kepada juruterbang supaya tidak terlanggar wayar yang sukar dilihat dari jauh.

Tidak sekecil yang kita lihat

Menurut Federal Aviation Administration (FAA), bola penanda ini mestilah dihasilkan dengan standard diameter minimum 36 inci bersamaan 91 cm. Saiz lebih kecil iaitu pada 20 inci (51 cm) dibenarkan untuk dipasang pada wayar dengan ketinggian kurang 15 meter.

Kredit: Quora/Paul Montgomery

Warna berbeza mengikut lokasi

Tahukah anda, ‘bola’ ini mempunyai warna yang berbeza bergantung kepada lokasi pencawang berkenaan?

Warna standard penanda ini ialah oren, kuning dan putih manakala di kawasan lembah serta sungai, pencawang akan dilengkapi dengan bola bercampur warna antara ketiga-tiga pilihan tersebut.

Bebola ini direka untuk memenuhi kriteria mudah dilihat pada jarak 4000 kaki bersamaan 1,219 meter radius (jarak sekeliling antara penanda dengan pesawat) supaya mampu dilihat dari setiap sudut.

Jarak pemasangan

Bola ini dipasang pada jarak 61 meter antara satu sama lain di kebanyakan kawasan namun semakin dekat pencawang dengan kawasan kritikal (lapangan terbang, lembah, sungai dan sebagainya), jarak antara penanda dikurangkan kepada 10 hingga 15 meter.

Sumber: Quora,FAA, Warning Spheres

Sumber : SiakapKeli