Kami Tak Ada Tudung Puluh Ribu Untuk Dipamer Atau Dibida, Tapi Kami Ada ”Vest” Berdarah Syuhada Untuk Dikenang

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Gaza, lokasi bergolak yang tidak pernah sunyi dengan kisah sedih untuk dikongsikan. Penderitaan, pengorbanan dan kehilangan orang tersayang pastinya menggoncang hati yang mereka menyaksikan.

Lelaki, perempuan dan anak kecil Gaza masing-masing mempunyai cara sendiri untuk berjuang mempertahankan tanah tumpah darah mereka. Tidak terkecuali, Razan An-Najjar, 21 seorang sukarelawan paramedik yang maut ditembak tentera Israel ketika sedang memberi pertolongan cemas kepada mangsa tercedera.

Pengorbanannya telah dilakarkan di dinding Facebook Iman Care sebagai inspirasi buat kita semua. Mari kita hayati bersama.

Kami di Gaza tak ada tudung berpuluh-puluh ribu untuk dipamer dan dibida.

Tetapi kami ada vest yang berlumuran darah syuhada’ ini.

Ia bukan untuk dijual, tetapi untuk dikenang generasi demi generasi tentang mahalnya sebuah perjuangan.

Vest ini milik As-Syahidah Razan An-Najjar, paramedik wanita yang terkorban ditembak dari belakang oleh tentera Israel ketika sedang memapah mangsa lain yang cedera, dan 1 Jun lalu adalah ulangtahun pertama pemergiannya.

Kami sempat menziarahi ibubapa beliau bersama rombongan Muslim Care kira-kira sebulan lepas, dan ibunya menceritakan,

“Saya ingat hari Razan pergi seperti ia baru berlaku semalam. Beliau keluar sejak awal pagi untuk menyertai pasukan paramedik membantu di The Great Return March.

“Saat ditembak, bapanya telah dimaklumkan sejak awal bahawa beliau syahid, tetapi beliau enggan memberitahu saya apa-apa.

“Sampailah saya sampai ke hospital, saya dihalang masuk ke wad kecemasan, tetapi saya berkeras menolak lelaki yang berjaga dan menerjah masuk merangkul jasad Razan.

Sambil mengusap tubuh kaku Razan, saya meraung menyuruhnya bangun. Tetapi jari saya tiba-tiba terperosok masuk ke sebuah lubang di tubuhnya dan apabila dikeluarkan, saya dapati jari saya berlumuran darah.

“Rupanya jari saya masuk ke lubang tempat peluru menembusi batang tubuhnya dan membunuhnya.

“Ketika itu, tahulah saya bahawa Razan sudah pergi selamanya. Dunia saya gelap, dan saya terus pengsan.”

Beliau seterusnya menceritakan bagaimana selepasnya beliau mula mempelajari asas Bantuan Kecemasan Awal dan telah menggantikan tempat Razan di medan The Great Return March, sehingga hari ini.

Semoga Allah merahmati beliau dan seluruh para syuhada’, Ameen Ya Rabbal Alameen.

Sumber: Iman Care

Sumber : SiakapKeli