Exynos 9825 Melepasi Geekbench – Bakal Digunakan Pada Galaxy Note 10

Samsung dalam persediaan untuk melancarkan Galaxy Note 10 pada 7 Ogos ini, dan beberapa info mengenainya telah pun tertiris. Melalui perkongsian terbaru daripada @UniverseIce, Galaxy Note 10 bakal dijana dengan Exynos 9825 iaitu variasi yang diolah daripada Exynos 9820.

Perkara ini dilaporkan menerusi halaman Geekbench yang memperlihatkan kod model SM-N970F (Samsung Galaxy Note 10) dengan variasi 8GB RAM. Hasil daripada ujian penanda aras ini, ia menyajikan skor yang cukup impresif, iaitu 4,515 untuk ujian satu teras dan 10,626 untuk ujian multi-teras.

Bacaan penanda aras ini walau bagaimapun mungkin akan dikalahkan selepas beberapa bulan peranti ini dilancarkan, dengan adanya Snapdragon 855+ dan pengenalan Apple A13 Bionic pada September. Namun begitu, ia tidak memberi kesan kepada kebanyakan pengguna umum, kerana ia menawarkan prestasi yang sangat berkuasa untuk kegunaan harian dan permainan.

Seperti model-model sebelumnya, Samsung sering menggunakan cip Exynos untuk pasaran antarabangsa, namun mengekalkan cip Snapdragon untuk pasaran Amerika Syarikat. Bermakna, Samsung mungkin akan hadir dengan cip Snapdragon 855+ ini pada model Galaxy Note 10+ untuk pasaran di sana.

Sumber : Amanz