Awas, Dua Produk Gugur Janin Dalam Talian Diharamkan – KKM

Kes menggugurkan janin secara sengaja merupakan isu serius yang kini telah menjadi barah dalam komuniti masyarakat terutamanya di Malaysia. Perbuatan ini dirancakkan lagi dengan terdapatnya kebebasan pihak-pihak tidak bertanggungjawab menjual dan mengedar pil-pil untuk gugur janin.

Terpalit dengan isu berkenaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tampil memberi peringatan terhadap orang awam mengenai produk gugur janin yang diharamkan di Malaysia.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius isu penjualan produk Misoprostol dan Mifepristone dalam talian yang digunakan untuk tujuan menggugurkan janin. Sememangnya kedua-dua produk tersebut merupakan produk tidak berdaftar dan tidak dibenarkan untuk dijual di pasaran Malaysia. Sejak tahun 2016, 16 serbuan yang mensasarkan produk-produk ini telah dilaksanakan dengan 28 bilangan rampasan bernilai RM97,578. Serbuan ini telah dilaksanakan susulan aktiviti risikan forensik siber yang rumit dan rapi, mengikut prosedur dan undang-undang sediada.

Bagi mengelakkan aktiviti penjualan dapat dikesan oleh pihak berkuasa, modus operandi yang digunakan bagi penjualan produk ini adalah menggunakan medium internet, aplikasi komunikasi internet dan platform e-dagang. Memandangkan aktiviti penjualan ini semakin serius, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi telah meningkatkan kerjasama dengan  pengendali platform e-dagang yang berpusat di Malaysia serta media sosial dalam mengambil tindakan menyenarai hitam penjual yang menjual produk ini di platform mereka. Bagi penjual yang menjual dalam ‘webpage’ peribadi, domainmereka akan disenaraikan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk tindakan sekatan. Dari tahun 2016 hingga kini, sebanyak 225 laman sesawang telah dipantau dan diprofil dan daripada jumlah tersebut, 98 laman web telah dihantar kepada SKMM, Facebook, Twitter dan YouTube untuk tindakan penutupan.

Sumber pembekalan produk farmaseutikal yang tidak berdaftar disyaki diperolehi secara haram di dalam negara dan melalui pembelian secara dalam talian dan penyeludupan dari negara luar. Penghantaran pil Misoprostol kepada pembeli adalah menggunakan perkhidmatan pos dan kurier. Penjual menggunakan identiti palsu dan alamat tempat penjualan palsu. Oleh itu, kerjasama rapat dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), CyberSecurity, Polis DiRaja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diperlukan dalam usaha mengekang kewujudan laman sesawang dan sosial yang dikesan melanggar akta-akta yang dikuatkuasakan. KKM turut menyertai jaringan operasi antarabangsa seperti Interpol dan agensi kesihatan luar negara dalam usaha membanteras aktiviti sedemikian.

Penjualan produk-produk yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan satu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952. Individu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati sewaktu membeli produk kesihatan yang dijual secara dalam talian, tidak mudah terpedaya dengan iklan dan maklumat yang disiarkan serta memastikan produk-produk kesihatan dan kosmetik yang dibeli di pasaran mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan. Orang ramai boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik dengan melayari www.npra.gov.my.

Orang ramai juga dimohon untuk menyalurkan maklumat mengenai penjualan pil gugur ini dan mengemukakan sebarang aduan berkaitan produk kesihatan dan iklan yang meragukan boleh disalurkan melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my. ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk seperti ini di pasaran.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

Pihak KKM juga menggesa orang ramai untuk berkerjasama bagi membanteras gejala ini. Oleh itu, sesiapa yang mempunyai maklumat diharapkan dapat menghubungi pihak yang terlibat.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Sumber : SiakapKeli