Sejarah Evolusi Tanda Sepanjang Peradaban Manusia

Dalam kehidupan seharian dan moden ini, tandas merupakan ruangan ataupun perkakas disebuah rumah atau bangunan yang sering dipandang remeh. Bagi perspektif kita, apalah sangat kegunaan tandas selain melepaskan hajat tidak kira kecil atau besar.

Pelbagai gelaran diberikan, seperti “jamban” di Malaysia dan pelbagai gelaran lain seluruh dunia seperti di Amerika Syarikat ia dipanggil “Loo”,”The John” dan “W.C” (Water Closet). Meskipun dengan pelbagai gelaran yang kelakar dan menjijikkan, tandas ialah tempat privasi paling penting untuk kita “melepaskan hajat”.

Ciri-ciri penting ini wajib  dalam sebuah bangunan mahupun rumah masakini. Namun tidak semua orang di dunia boleh menikmatinya walaupun ia sudah wujud sejak sekian lama dari permulaan peradaban manusia lagi.

Tandas awam batu dari abad ke-2 Masihi, tinggalan bandar purbakala di Rom- Kredit imej :- PRISMA ARCHIVO/ALAMY
Cara najis dibersihkan di tandas purbakala Rom

Sewaktu zaman empayar Rom yang hebat, tandas dibina bersama ruangan mandian awam dimana para lelaki dan wanita melepaskan hajat mereka bersebelahan antara satu sama lain. Orang Rom menggangap aktiviti melepaskan hajat ditandas sebagai perkara sosial, seperti membincangkan isu semasa, dan bertukar pendapat.

Untuk membersihkan diri selepas selesai melepaskan hajat, sebatang kayu yang diletakkan bersama span digunakan untuk mencuci punggung. Air dibawah saliran tandas batu ini akan mengalirkan najis untuk dilepaskan ke persekitaran. Walaupun ramai berpendapat bahawa Empayar Rom menerajui teknologi pembentungan yang bersih sewaktu tamadun purbakala, Tanggapan itu benar-benar silap.

Walaupun empayar Rom terkenal dengan teknologi tandas purba yang maju namun ia tidaklah setanding tandas moden kita kini. Buktinya penemuan para saintis serta arkeologi menemukan pelbagai jenis parasit, seperti cacing gelang, cacing cambuk yang merupakan punca kepada disentri boleh ditemui didalam permakaman dan perkuburan rakyat-rakyat Rom sewaktu era pemerintahan Rom.

Perpindahan parasit mungkin dari amalan orang Rom seperti berus digunakan untuk mencuci punggung dan dikongsi antara satu sama lain serta tempat duduk batu yang dicemari najis. ia menjadi kebiasaan pada zaman itu. Kemajuan teknologi tandas oleh Rom turut sama musnah apabila Empayar Rom tumbang.

Kaedah orang zaman pertengahan di Eropah membuang najis melalui tingkap rumah mereka

Di zaman pertengahan di Eropah pula terutama sekali di Perancis, penduduk zaman itu telah pun membiasakan diri membuang najis didalam baldi najis kemudian apabila penuh, najis itu dicurah melalui lorong dan jalanan. Orang yang lalu lalang dan pedati kuda yang membawa bekalan makanan ke pasar sudah tentu terkena percikan najis ini, mewujudkan persekitaran yang menggelikan dan berbakteria penuh dengan bauan busuk, hancing.

Malahan, orang yang membuang baldi najis melalui balkoni rumah mereka ketika itu sudah pasti menjeritkan perkataan “Gardez l’eau” iaitu bermaksud “berhati-hati dengan najis!”kepada orang yang lalu-lalang dibawah. Keadaan begitu kotor ini menyebabkan penyebaran wabak “Black Death” yang begitu pantas dan membunuh 2/3 populasi di eropah pada Zaman Pertengahan.

Sebuah lukisan Paten oleh Alexander Cummings mengenai perangkap yang diciptanya

Pada tahun 1775, Alexander Cummings berjaya mencipta kedap untuk tandas dinamakan sebagai “S-Trap” (Perangkap-S), Perangkap ini direka bertujuan menghalang gas yang busuk dari saluran pembentungan dari terus memasuki rumah. Ia dipasang pada mangkuk tandas dan ciptaan beliau masih digunakan sehingga kini.

Ini membolehkan tandas dibina bersama dengan struktur rumah tanpa perlu mengasingkannya jauh dari rumah untuk mengelakkan bauan kumbahan dari memasuki rumah. Melalui teknologi kedap ini, selain dari menghalang gas pembentung memasuki rumah, ia juga menwujudkan kesan sifon (Siphonage-effect) melalui air curahan, seterusnya menarik sisa najis dengan efisyen secara keseluruhan.

Pada abad ke-19, peningkatan penduduk yang makin memuncak di Empayar Britain. Bilangan najis yang dihasilkan oleh penduduk memuncak dan tandas disediakan pula tidak mencukupi. Bandaraya yang terlebih penduduk seperti Manchester dan London, penduduk terpaksa berkongsi tandas. Satu tandas sudah pasti dikongsi dengan 100 orang yang lain.

Ini menyebabkan limpahan kumbahan ke lorong-lorong dan sungai di Britain ketika itu. Limpahan kumbahan ini bercampur dengan bekalan minuman dimana ia tidak dirawat ketika itu. Ditambah pula dengan najis dari haiwan belaan seperti kuda dan sebagainya, puluhan ribu penduduk maut akibat penyakit bawaan air. Wabak Kolera tersebut melanda antara 1830an dan 1850an di Britain.

Pembuangan sisa najis secara tidak betul adalah “resepi” kepada malapetaka. Sisa najis yang tidak dibuang secara betul sudah pasti mempunyai sebatian kuman merbahaya seperti Kolera yang mampu membawa maut jika kuman ini  bercampur dengan bekalan air minuman manusia ataupun dikawasan takungan/tadahan air.

Penyakit yang dibawa melalui sisa najis ini mampu memberi kesan buruk kepada kesihatan seseorang. Oleh itu pada tahun 1848, kerajaan di Britain mengarahkan setiap rumah yang baru dibina mempunyai Bilik Air (W.C) atau ruang tandas dengan lubang tandasnya ditadah dengan abu.

Orang yang mengosongkan najis tersebut dikenali sebagai “night soil men” akan disuruh mengosongkan lubang tandas yang berisi abu sesudah penuh. Walaubagaimanapun, selepas musim panas pada tahun 1858 di Britain menyebabkan najis mereput lalu menyebabkan “The Great Stink”. Kerajaan terpaksa membina sistem pembentungan yang sistematik, yang berjaya disiapkan tahun 1865. Sejak itu, penularan wabak Kolera, Tifoid dan penyakit bawaan air menurun mendadak.

“Death’s Dispensary”: Karikatur ini diterbitkan di London pada tahun 1866 sewaktu penularan wabak Kolera, ia merupakan satu respons kepada ahli epidemiologi iaitu John Snow, yang mengaitkan dengan epedemik Kolera oleh kumbahan yang meresap kedalam bekalan air bawah tanah digunakan untuk penduduk minum (1866)

Kini,
masyarakat moden tidak perlu lagi risaukan najis yang tiba-tiba jatuh dari atas
dengan adanya kemajuan dari segi teknologi tandas dan bolehlah melepaskan hajat
tanpa perlu rasa gusar.Namun, tandas  memainkan peranan penting dalam kehidupan
masyarakat tamadun moden kini. Tanpanya, tidakkah kita terfikir apa akan
berlaku dengan masyarakat kita kelak.

RUJUKAN:

A Brief History of The Flush Toilet. https://www.baus.org.uk/museum/164/the_flush_toilet

Roman Plumbing: Overrated. https://www.theatlantic.com/health/archive/2016/01/ancient-roman-toilets-gross/423072/

The First Cholera Epidemic in St. Petersburg. http://www.environmentandsociety.org/arcadia/first-cholera-epidemic-st-petersburg

Roman toilets may actually have been bad for public health. https://www.sciencemag.org/news/2016/01/roman-toilets-may-actually-have-been-bad-public-health

Cholera In Wetminster. https://www.choleraandthethames.co.uk/cholera-in-london/cholera-in-westminster/

5 Ways Toilets Change the World. https://www.livescience.com/41334-5-ways-toilets-change-world.html

The post Sejarah Evolusi Tanda Sepanjang Peradaban Manusia appeared first on The Patriots.

Sumber : ThePatriots