Amaran Untuk Yang Suka Buang Sampah Dari Kenderaan, Saman Polis Ini Menanti Anda

Walaupun negara hampir mendekati tahun 2020 dan giat mengejar status negara maju, masih ada segelintir individu berminda kelas ketiga yang wujud dalam masyarakat kita dengan membuang sampah melalui tingkap kenderaan.

Sifat golongan yang mundur ini turut memberi kesan kepada orang sekeliling dan persekitaran. Selain menyakitkan mata, sampah yang dibuang di tengah jalan boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain sekiranya terpelanting laju mengenai penunggang motosikal atau meretakkan cermin hadapan kereta orang lain.

Oleh itu, tindakan ini wajar dikenakan hukuman supaya si pelaku mampu menggunakan akal diberi pada masa hadapan. Hal ini dikongsikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman Facebook mereka pada 15 Julai lalu.

KESALAHAN MEMBUANG SAMPAH DARIPADA KENDERAAN

Amalan menjaga kebersihan persekitaran bukan sahaja dituntut oleh setiap agama, malah perbuatan tersebut juga perlu dipraktikkan dalam kalangan pemandu dan penumpang kenderaan.

Terdapat segelintir pemandu atau penumpang yang suka mengamalkan tabiat membuang sampah di atas jalan raya melalui tingkap kenderaan.

Tindakan tersebut adalah perbuatan buruk kerana sampah yang dibuang bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah membahayakan pengguna jalan raya yang lain sehingga boleh menyebabkan kemalangan jalan raya.

Perlu diingat, membuang sampah dari kenderaan juga boleh dikenakan tindakan di bawah Kaedah 52, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/1959) dengan denda maksimum RM300.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengumpul sampah dalam kenderaan terlebih dahulu dan membuangnya di tempat yang disediakan apabila berhenti untuk berehat ketika memandu.

Sumber: PDRM

Sumber : SiakapKeli