Suami Tak Terima Anak Tak Sempurna, Wanita Sendirian Besarkan Anak Hingga Jadi Graduan Harvard

Kasih sayang seorang ibu kepada anaknya mampu mengatasi segala-galanya. Bahkan, nyawanya sendiri sanggup digadaikan semata-mata untuk melindungi insan yang dikandungnya selama hampir sembilan bulan.

Sebelum ini, kita banyak mendengar kisah mengenai kasih sayang ibu terhadap anaknya. Terbaru, kisah dan pengorbanan seorang ibu dari China ini membuatkan ramai kagum dan terharu.

Zou, seorang wanita dan ibu yang mendapat perhatian ramai warganet di China apabila kisahnya membesarkan seorang anak kurang upaya menjadi tular selepas dikongsikan oleh akhbar tempatan, SCMP.

Menurut laporan berkenaan, semasa mengandungkan anaknya, Ding, doktor telah memaklumkan bahawa anaknya itu hampir mati lemas akibat kompilasi semasa kelahirannya.

Justeru, doktor yang terlibat menyarankannya untuk mengalah dan ‘melepaskan’ anaknya itu. Alasannya, hampir mustahil untuk menyelamatkan anaknya itu dan jika terselamat pun, dia akan mempunyai masalah kesihatan atau kurang upaya.

Namun, Zhou tetap berkeras untuk membesarkan anak tersebut. Malangnya, suaminya ketika itu bersetuju dengan pandangan doktor dan berlaku salah faham antara mereka berdua seterusnya mengakibatkan penceraian.

Foto: SCMP

Bagaimanapun, Zhou terus kuat dalam membesarkan anaknya dan walaupun Ding mempunyai masalah lemah tubuh badan dan pembelajaran, wanita tersebut cekal mengajarnya sedikit demi sedikit.

Selepas diceraikan suami, beliau pernah bekerja di beberapa tempat semata-mata mahu mencari wang untuk membesarkan Ding sama seperti orang lain.

Foto: SCMP

Berkat usaha kerasnya itu, Ding telah berjaya menamatkan pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Muda di Universiti Peking pada 2011 dan bergelar mahasiswa di sebuah universiti terkemuka dunia, Universiti Harvard dalam bidang undang-undang pada tahun 2017.

Kisah ini boleh dijadikan contoh kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak kurang upaya untuk tidak mengalah dan kepada anak-anak, ketahuilah kasih sayang ibu tiada galang-gantinya.

Sumber: Elite Readers, SCMP

Sumber : SiakapKeli