Lebih dari 30,000 unit Aruz dipanggil semula untuk pemeriksaan berkaitan airbag

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengumumkan bahawa beberapa unit Aruz telah dipanggil untuk menjalani pemeriksaan ke atas masalah sensor airbag yang melibatkan 30,000 unit SUV yang dibina sebelum 15 Februari tahun ini. 
Perodua berkata, pihaknya sedang menjalankan kempen keselamatan susulan Toyota Rush dipanggil semula di Filipina kerana mengalami masalah sensor airbag yang terlalu sensitif di mana airbag boleh terkeluar apabila kereta melalui bonggol jalan pada kelajuan 60km/j ke atas. 
Namun isu tersebut tidak menjejaskan model yang sama di Malaysia dan sebagai langkah keselamatan, Perodua akan melakukan pemeriksaan dan menggantikan bahagian yang berkaitan. 
Keseluruhan proses itu mengambil masa selama 30 minit dan kos ditanggung sepenuhnya oleh Perodua. 
“Kita mempunyai jalan raya yang baik, tetapi sebagai syarikat yang bertanggungjawab, kita akan buat pemeriksaan terhadap model Aruz yang dibuat sebelum 15 Februari yang melibatkan lebih daripada 30,000 unit,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad. 
Beliau berkata, pelanggan tidak perlu risau dan pemilik Aruz yang terlibat akan dimaklumkan mengenai perkara itu.
Difahamkan, beberapa pemilik Aruz juga telah menerima surat pemberitahuan mengenai isu tersebut dan meminta mereka membawa kereta ke pusat servis untuk diperiksa. 
Sumber: Paul Tan

Sumber : TheReporter