”Kadang Aku Nampak, Kadang Aku Dengar”, Pemuda Buka Cerita Hakikat ”Skizoafektif Dissoder” Yang Dialaminya

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Masyarakat kita masih memandang isu gangguan mental sebagai isu yang tabu untuk dibicarakan. Walhal, kita sepatutnya memandang mereka yang mengalami gangguan ini dengan rasa empati, sama seperti pesakit fizikal yang lain.

Akibatnya, golongan yang menderita dengan penyakit psikologikal cenderung memencilkan diri kerana takut dihukum dan dipinggirkan keluarga, rakan-rakan, majikan serta masyarakat. Hal ini menyebabkan masalah tersebut terus bercambah di dalam jiwa mereka tanpa rawatan dan sokongan yang amat diperlukan.

Bagi membetulkan stigma ini, seorang pesakit Gangguan Skizoafektif, Muhammad Faris Nazrin tampil untuk memberi pencerahan tentang gangguan tersebut.

“Sekarang aku nak beritahu macam mana aku melalui hidup aku sebagai pesakit Gangguan Psikoafektif, sejenis penyakit mental yang ada simptom psikotik dan gangguan mood. Korang boleh ulang kicau kalau korang ada kenalan, ahli keluarga atau sahabat yang ada penyakit macam aku.”

Simptom halusinasi

Faris memulakan kicauannya dengan menjelaskan simptom yang dilaluinya, halusinasi. Kata Faris, dia mengalami halusinasi visual dan auditori, menyebabkannya kadangkala terdengar bunyi-bunyi dan terlihat gambaran yang aneh.

Simptom delusi

Delusi menyebabkan seseorang berasa dibenci, tidak disayangi dan terancam walaupun ketika bersama orang tersayang. Penderita gangguan psikologi yang mengalami delusi memerlukan kata-kata sokongan secara jelas dari orang sekeliling bagi meyakinkan mereka bahawa mereka disayangi.

Simptom Asosial

Penderita gangguan Skizoafektif juga akan berasa tertekan jika terpaksa berada dalam situasi sosial dalam tempoh yang lama. Sekiranya mereka bersosial, mereka akan menjadi yang terawal untuk pulang.

Hal ini bukanlah bermakna mereka tidak suka kepada orang sekeliling, namun disebabkan rasa penat yang membuatkan penderita gangguan ini terpaksa menyendiri untuk pulihkan tekanan yang membelenggu jiwa.

Depresi dan mania

Pesakit Skizoafektif akan mengalami kedua-dua simptom depresi dan mania. Mereka yang tertekan dan resah dalam masa yang lama terdedah kepada risiko depresi. Penderita depresi akan tenggelam dalam lohong hitam negatif antaranya rasa tidak berguna, berputus asa untuk hidup dan kepenatan melampau.

Ketika ‘diserang’ episod mania pula, pesakit cenderung mempunyai tenaga berlebihan dan idea-idea besar untuk dilaksanakan.

Mungkin ada antara anda yang pernah merasai antara simptom-simptom tersebut. Namun, anda diingatkan untuk tidak membuat andaian sendiri. Jumpalah doktor yang layak untuk diagnosis yang sebenarnya.

Hakikatnya, banyak sudut yang masyarakat kita terlepas pandang dalam memahami gangguan psikologi, membuatkan ada antara kita membuat tanggapan yang kurang tepat tentang pesakit mental.

Sekiranya anda mengenali sesiapa yang mengalami tekanan mental, berempatilah kepada mereka.

Ingat, kita bukan tuhan yang tahu segala-galanya. Ada banyak perkara yang berada di luar pengetahuan kita.

Sebelum kita menghakimi, hati-hati kerana kata-kata ibarat boomerang yang boleh kembali memakan diri.

Sumber: Muhammad Faris Nazrin

Sumber : SiakapKeli